IPOH - Harga barangan keperluan termasuk barangan basah dan kering di Pasar Besar Ipoh masih stabil, kata Ketua Pegawai Penguatkuasa  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak Shamsul Nizam Khalil.

Beliau berkata walaupun terdapat perubahan harga bagi barang basah seperti ayam, ikan dan daging, namun kenaikannya tidak mendadak.

“Ada barang harganya kekal seperti telur dan santan...walaupun berlaku harga  berbeza antara peruncit, namun ia masih berada pada kadar yang stabil.

“Peniaga juga meletakkan tanda harga dan ini memudahkan pembeli untuk membuat pilihan berdasarkan kemampuan,” katanya ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan harga di pasar itu.

Beliau berkata sekiranya kenaikan harga berterusan, KPDNKK akan memastikan peratusannya tidak lebih sehingga margin berubah ketara daripada harga asas.

Tinjauan Bernama di pasar itu mendapati ayam segar dijual pada harga RM8.50 sekilogram, daging tempatan RM32 sekilogram, telur ayam gred A RM10.20, santan RM8 dan ikan kembung antara RM10 hingga RM12 sekilogram.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Nizam berkata KPDNKK Perak menjalankan pemeriksaan dan kutipan harga barang sebelum cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus dikuatkuasa mulai 1 Jun ini menerusi Op Catut 4.0 bermula Khamis lepas hingga 31 Mei ini.

Beliau berkata menerusi operasi itu,175 premis perniagaan telah diperiksa dan kebanyakan mereka sedar akan pindaan GST tersebut.

“Kita mengadakan perbincangan dengan pihak industri dan peniaga untuk memberi penerangan. Langkah ini penting bagi mengelak sebarang manipulasi harga kesan  daripada perubahan cukai itu,” katanya. - Bernama