IPOH - Sebanyak 10,920 liter minyak diesel milik sebuah syarikat disita selepas dikesan menjalankan aktiviti penyelewengan subsidi kerajaan di sebuah premis di Chemor, 5 Julai lalu.

Serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak sekitar jam 5 petang itu turut merampas enam tangki minyak berkapasiti 16,000 liter setiap satu, sebuah pam minyak mini dan sebuah lori tangki.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata, syarikat berkenaan pernah beroperasi sebagai stesen minyak dan mempunyai lesen runcit barang kawalan diesel, namun tamat tempoh pada Mei tahun lalu.

Menurutnya, risikan dijalankan, mendapati pemilik perniagaan masih menjalankan perniagaan diesel secara borong sejak empat bulan lalu untuk edaran kepada pelanggan yang kebanyakannya kilang di sekitar negeri ini.

“Syarikat ini disyaki cuba menyeleweng barang kawalan diesel yang dibeli dengan harga subsidi bagi perniagaan stesen minyak iaitu RM2.18 (harga jualan runcit terkini stesen minyak) dan dijual pada harga borong antara RM2.30 ke RM2.40 kepada kilang-kilang.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati, syarikat ini tidak mempunyai lesen sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia dan menerima bekalan minyak diesel daripada beberapa pembekal yang terdiri daripada syarikat minyak dan pemborong minyak yang berlesen secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nilai bagi keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM75,000.

Shamsul Nizam berkata, seorang lelaki berusia lingkungan 50 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 21 dan Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, siasatan juga dilakukan ke atas pembekal di bawah Peraturan 9 (2) (b) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

“Sebanyak dua kes melibatkan barang kawalan dieseldengan nilai rampasan berjumlah RM75,321 telah dihasilkan bagi tempoh Januari 2017 hingga 5 Julai lalu,” katanya.