TELUK INTAN - Tidak hanya menjadikan berbasikal sebagai hobi, Kelab Basikal Monsoon Rider turut mengambil inisiatif murni apabila membantu meringankan beban pelajar kurang berkemampuan.

Presiden Kelab Basikal Monsoon, Khairudin Yeop Ahmad berkata, idea mewujudkan program sumbangan kepada pelajar kurang berkemampuan merupakan cetusan ahli kelab berkenaan.

“Ia merupakan program yang patut dilaksanakan dalam membantu pelajar kurang berkemampuan di mana kita akan ke sekolah dan berbincang dengan guru besar atau pengetua.

“Kita akan mengambil senarai nama pelajar miskin dan kurang berkemampuan untuk diberikan bantuan seperti kelengkapan persekolahan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Teluk Intan, baru-baru ini.

Menurut Khairudin, menjadi harapan ahli Kelab Basikal Monsoon sumbangan dihulurkan meringankan beban keluarga pelajar dalam menyekolahkan anak-anak mereka.

“Kita juga berharap agar pemberian ini memberi suntikan semangat kepada pelajar untuk ke sekolah dan mengubah nasib keluarga mereka apabila berjaya,” katanya.

Sementara itu, seramai dua pelajar SK Convent Teluk Intan menerima sumbangan berupa pakaian seragam, kasut, beg, buku dan sebuah basikal.