IPOH - Gerakan mempromosikan LGBT harus disekat menggunakan peruntukan undang-undang.

Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim berkata, sebenarnya amalan LGBT ini merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

Katanya, setiap negeri mempunyai  peruntukan dalaman undang-undang di bawah enakmen jenayah syariah berkaitan LGBT seperti lelaki berpakaian seperti perempuan dan sebagainya. "Bukan setakat enakmen jenayah syariah, tetapi dalam Kanun Keseksaan undang-undang negara boleh rujuk Seksyen 377 (a), 377 (b), 377 (c) semuanya mengenai seks luar tabii, liwat, sama sejenis dan sebagainya. Malah kesalahan mereka boleh dikenakan sehingga 20 sebatan.

"Kemudian bagi yang menyokong kegiatan ini, disebutkan dalam Seksyen 109 Kanun Keseksaan, maksudnya bagi mereka yang mempromosikan secara tegar, ertinya mereka sudah melanggar undang-undang negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Sinar Live bertajuk LGBT: Apakah Kita Masih Belum Insaf?, semalam.

Zamri berkata, bagaimanapun, pendekatan dialog, perbincangan dan sebagainya sangat baik kerana mereka tidak boleh terus dihukum tetapi dialog itu perlu sampai kepada matlamat asal membawa manusia ke arah fitrah.

"Jika dialog atau perbincangan tidak mampu (memberikan perubahan) maka perlu kepada penguatkuasaan. Kita kena hadapi LGBT ini dengan peringkat masing-masing kalau nak bertaubat kita layan dengan mereka dengan cara orang yang nak bertaubat. Kalau yang nak mempromosi kita layani mereka dengan undang-undang.

"Sebenarnya, undang-undang sedia ada sudah cukup kerana seperti undang undang lain isu utamanya adalah penguatkuasaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, selain penguatkuasaan undang-undang, masyarakat juga harus dididik bahawa perkara yang dilarang dalam Islam mesti membawa mudarat bukan sahaja pada diri sendiri tetapi masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri perlu tegas dengan tidak mengiktiraf golongan ini.

Zamri berkata, pada masa sama jangan beri ruang mereka untuk mengangkat individu ini sebagai tokoh.