IPOH - Gua Tambun yang ditutup sejak Julai lalu bagi memberi laluan kepada kerja naik taraf dan pembersihan akan dibuka semula, seawalnya minggu depan.

Exco Kerajaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya berpuas hati dengan tahap keselamatan di kawasan itu.

"Kerja pembersihan telahpun selesai, lokasi ini sudah boleh dibuka kepada pengunjung minggu depan, namun tarikh sebenar akan kita umum kemudian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Matta Fair Perak di Aeon Big Falim, semalam.

Julai lalu, kerajaan negeri ambil keputusan menutup sementara gua yang  menyimpan lukisan pra sejarah batu dinding berusia lebih 3,000 tahun terbabit selepas pemeriksaan mendapati, terdapat kelonggaran dalam urusan penjagaan.

Antara kerja tapak dilakukan adalah membersihkan laluan masuk ke gua, membaik pulih lantai konkrit dan pemasangan papan tanda penerangan untuk ciri keselamatan pengunjung.

Kar Hing berkata, sebuah syarikat swasta telah dilantik untuk mengawal selia dari segi pemuliharaan dan proses pengindahan kawasan sekitar gua terbabit.

"Meskipun kita melantik syarikat kontraktor, kerajaan negeri tidak akan mengenakan bayaran masuk ke gua tersebut sama seperti sebelum ini," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan pengiktirafan tapak warisan dunia di Taman Negeri Royal Belum, beliau berkata, kerajaan kini dalam proses pengumpulan rekod dan dokumen untuk diserahkan kepada Jabatan Warisan Negara.

Katanya, segala dokumen itu kemudiannya akan dikemukakan kepada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

"Sekiranya Royal Belum memperolehi pengiktirafan ini, ia akan menjadi rangsangan utama terhadap sektor pelancongan khususnya di kawasan utara Perak," katanya.

Rabu lalu, Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik memaklumkan, empat tapak warisan; Taman Negara, Royal Belum di Gerik, Permatang Kuarza di Gombak, Selangor dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam senarai menunggu sebelum diangkat ke Unesco.