IPOH – Tindakan pantas anggota polis menutup laluan rahsia sebuah pusat hiburan di Persiaran Greentown, awal pagi tadi berjaya menggagalkan cubaan melarikan diri 19 wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO).

Dalam serbuan Op Noda bermula jam 1.30 pagi itu, kesemua wanita masing-masing berusia antara 20 hingga 30 tahun diberkas ketika bersembunyi di laluan tikus terbabit.

Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Deputi Superintendan Mohd Shajidan Abd Shukor berkata, laluan rahsia itu berjaya dibongkar hasil risikan selama sebulan.

"Daripada siasatan, kita dapati ada antara mereka memiliki dokuman perjalanan, namun tiada permit kerja yang sah," katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan merupakan 10 wanita warga Vietnam, Thailand dan Indonesia masing-masing empat warga serta seorang dari China.

“Dua lelaki disyaki penjaga premis, turut ditahan,” katanya.

Serbuan membabitkan lapan pegawai dan 34 anggota D7 serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu turut berjaya menahan 18 warga tempatan termasuk sembilan wanita di sebuah bilik di pusat hiburan yang sama, selepas dikesan menjalankan kegiatan judi haram menggunakan daun terup

Mohd Shajidan berkata, sejumlah wang RM738 turut dirampas dipercayai hasil kegiatan berkenaan.

“Seorang lelaki berusia lingkungan 30 an turut ditahan kerana memiliki dadah iaitu ketamin, ecstasy dan ganja,” katanya.

Dalam serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan di Jalan Datoh, lima wanita warga Vietnam juga disyaki bekerja sebagai GRO, ditahan.

Turut ditahan lima lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai penjaga premis.

“Semua yang ditahan dalam dua serbuan itu dibawa ke IPK negeri bagi siasatan lanjut,” katanya.