IPOH – [DIKEMASKINI] Seorang anggota Gerakan Bahagian Ipoh Barat diarah menyerahkan surat letak jawatan kerana telah menyertai PKR selepas PRU14, 9 Mei lalu.

Setiausahanya, V.Subramaniam berkata, perkara berkenaan agak mengejutkan pihaknya, kerana berdasarkan rekod individu berkenaan masih lagi ahli bagi parti Gerakan Bahagian Ipoh Barat.

Oleh itu menurutnya, individu berkenaan dituntut untuk segera menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada parti.

“Kita dimaklumkan bahawa individu ini sekarang adalah ahli PKR Cabang Ipoh Barat. Tetapi bila kami buat semakan, keahliannya dengan  Gerakan Ipoh Barat masih lagi aktif.

“Oleh itu, kami meminta agar dia dapat tampil dan menyerahkan surat perletakan jawatannya seberapa segera kepada kami,” katanya pada sidang media, semalam.

Sementara itu, Subramaniam berkata, pihaknya tidak menghalang individu berkenana untuk menyertai mana-mana parti, terutamanya setelah PRU14 lalu yang menyaksikan berlakunya peralihatan kusa pentadbiran negara.

Bagaimanapun katanya, seseorang itu hanya boleh menyertai satu parti sahaja tidak boleh aktif menyertai dua parti sekali gus.

“Saya difahamkan beliau akan bertanding bagi merebut salah satu jawatan tertinggi yang dipertandingkan di peringkat Cabang Ipoh Barat.

“Oleh itu, kami memohon dia untuk menyerahkan surat perletakan jawatan dengan segera agar tidak lagi mengeruhkan keadaan,” katanya.