PENGKALAN HULU - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Unit Pengkalan Hulu mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan seekor ular sawa sepanjang hampir lima meter, di sini, tengahari semalam.

Menurut sumber dari APM Hulu Perak, haiwan seberat kira-kira 80 kilogram itu ditangkap di dalam sebuah ladang di Jalan Klian Intan, di sini.

Menurutnya, haiwan itu disyaki telah menelan seekor kambing atau khinzir sebelum kehadirannya disedari pekerja ladang yang terus menghubungi APM.

“Anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 12.16 tengahari semalam.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati haiwan itu berada dalam kawasan belukar dipercayai berehat kerana kekenyangan.

“Anggota kemudian dibantu pekerja ladang cuba membawa ular itu keluar dari kawasan tersebut untuk dibawa ke pejabat bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambahnya, anggota mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan haiwan itu kerana ia sangat agresif di samping saiznya yang besar dan beratnya melebihi 80 kilogram.

“Kecekapan anggota akhirnya berjaya mengeluarkan haiwan itu dari ladang tersebut. Tiada kecederaan berlaku dalam operasi kali ini,” ujarnya.