IPOH - Enam cedera manakala lapan lagi selamat dalam kemalangan melibatkan sebuah van membawa pekerja kilang dan Honda CRV di Jalan Cameron Highland - Keramat Pulai petang tadi di sini.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 3 petang itu turut mengakibatkan salah seorang penumpang van tersepit sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba.

Anggota bomba menyelamatkan mangsa dalam kejadian itu.Foto: Ihsan Bomba

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat, Ali Hiari Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 3.27 petang dan bergegas ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, terdapat seorang penumpang van tersepit dan anggota mengeluarkan mangsa menggunakan alatan menyelamat sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ali Hiari, dua daripada enam mangsa yang cedera merupakan pemandu dan penumpang Honda CRV manakala bakinya melibatkan pekerja kilang van tersebut.

“Lapan penumpang van juga selamat dan operasi tamat jam 4.11 petang,” katanya.