IPOH - Kerajaan negeri menyediakan elaun makanan RM20 sehari kepada setiap petugas media yang membuat liputan sepanjang Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 yang bermula 11 hingga 22 September ini.

Elaun berkenaan merupakan saguhati selepas pihak sekreteriat tidak menyediakan keperluan makanan di pusat media dan venue sukan di 12 daerah seluruh negeri.

Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Perak, Hasan Ashaari Abu Bakar berkata, lebih 500 pengamal media melibatkan cetak dan elektronik membuat liputan sepanjang 12 hari penganjuran Sukma kali ini.

Menurutnya, setiap petugas media diberikan akses untuk mendapatkan semua maklumat berhubung perjalanan Sukma melalui paparan utama di pusat media di Jabatan Belia dan Sukan, Ipoh.

"Bagi yang bertugas di daerah-daerah, mereka juga boleh mendapatkan maklumat sama yang turut disediakan di bilik media.

"Pegawai penerangan di setiap daerah  akan bertindak sebagai ketua bagi membantu melancarkan tugas media," katanya pada sesi taklimat kepada petugas media, hari ini.

Beliau berkata, pihak sekreteriat turut menyediakan kemudahan bot bagi liputan sukan air untuk memudahkan petugas media mendapatkan gambar dan video yang menarik.

Sukma ke 19 mempertaruhkan 427 acara dengan 29 jenis sukan diadakan di 39 venue pertandingan di seluruh 12 daerah di Perak.