GOPENG – Seorang lelaki maut selepas gagal mengelak sebuah lori kontena yang memasuki laluannya di Kilometer 23.6, Jalan Ipoh–Kuala Lumpur berhampiran Gunung Mesah Hilir di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.22 pagi itu, Mohamad Taufik Isa, 30, yang tinggal di Pangsapuri Sri Kepayang, Ipoh meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, pemandu lori kontena berusia 57 tahun pula cedera parah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori kontena yang dalam perjalanan dari Kampar ke Ipoh telah terbabas memasuki ke laluan bertentangan selepas mengelak daripada melanggar seekor kerbau di tengah jalan.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa memandu kereta jenis Proton Gen2 yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori kontena terbabit,” katanya.

“Semua kenderaan dibawa untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan tiada tangkapan dibuat setakat ini,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian di Kilometer 319.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, semalam, nahas membabitkan empat kenderaan termasuk dua motosikal juga dikatakan berpunca daripada seekor kerbau.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, keempat-empat kenderaan dalam perjalanan menuju ke selatan tidak sempat mengelak bangkai haiwan yang berada di lorong kiri itu.

“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu lelaki berusia 55 tahun tidak sempat mengelak seekor kerbau dan melanggarnya.

“Kejadian itu turut mengakibatkan seorang penunggang motosikal terlanggar diikuti dua mangsa yang menaiki sebuah motosikal juga tidak sempat mengelak,” katanya.

Menurutnya, sebuah lori yang bawa muatan palet kayu turut melanggar bangkai haiwan berkenaan menyebabkan ia hilang kawalan melanggar motosikal mangsa di lorong kecemasan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LIPIS - Akibat bahagian stereng mengalami kerosakan teknikal, sebuah lori tanpa membawa muatan hilang kawalan sebelum terbalik di Kilometer 25 Jalan Lipis - Benta, berdekatan atas jambatan Benta, di sini, pagi tadi.
  • TANAH MERAH - SEORANG anggota polis cawangan trafik antara dua yang maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua motosikal di sempadan daerah ini dan Machang di Jambatan Kusial, dekat sini, petang tadi.
  • PUTATAN - Seorang guru wanita maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya berlanggar dengan sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda di KM16 Jalan Papar - Kota Kinabalu, di sini hari ini.
  • KUALA KANGSAR - Pertukaran laluan secara tiba-tiba dipercayai menjadi punca kemalangan melibatkan dua kereta dalam Terowong Menora menghala utara, di sini, pagi tadi.
  • BANDAR BAHARU - Selepas empat hari bertarung nyawa di wad Hospital Kulim, seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori kelapa sawit dalam kejadian Rabu lalu, Shaari Man, meninggal dunia.