IPOH - Apabila menyebut Tambun, kebanyakan masyarakat akan terbayang lokasi taman tema airnya yang sering menjadi tumpuan keluarga beriadah selain hasil limau tambun yang manis dan besar sinonim dengan nama tempat terbabit.

Apa yang kita tidak diketahui, lebih satu dekad yang lalu, kawasan ini merupakan kawasan perlombongan bijih timah yang diusahakan oleh Toh Lembang atau Kulup Limbang seorang saudagar kelian (Teluk Intan) pada tahun 1892.

Ketika itu, kawasan pekan Tambun dikenali sebagai Kampung Rotan Segar sebelum diberi nama Tambun merujuk kepada timbunan bijih timah yang banyak di kawasan terbabit.

Industri limau tambun

Generasi keempat Toh Lembang, Azmir Ahmad Azman, 47, berkata, sejarah penubuhan pekan Tambun itu sering diceritakan oleh bapanya agar sejarah itu tidak pernah terpadam di setiap generasinya.

Menurutnya, Toh Lembang meneroka kawasan itu sebelum menemui bijih timah yang tinggi kualitinya dan menjualkannya di bandar Ipoh yang terkenal sebagai pusat tumpuan dagangan.

Kenangan yang diambil bersama penduduk pada 1928 sempena Hari Raya Aidiladha yang dihadiri mufti pertama perak.

“Bermula dari situlah, Toh Limbang dikenali kerana bijih timah yang dijualnya merupakan berkualiti tinggi hingga menarik penduduk dan kaum lain untuk mendulang di Sungai Pinji sebelum membentuk perkampungan baharu di pesisir sungai berkenaan.

“Perniagaan Tok Lembang terus maju hingga mengusahakan pengangkutan dengan mempunyai gajah dan kuda ketika itu malah, Toh Lembang terkenal sebagai orang kaya di kawasan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Azmir berkata, beliau menyifatkan moyangnya sebagai individu yang merendah diri dan berpandangan jauh dalam menjaga legasi kemajuan dan kemakmuran penduduk dalam kawasan terbabit.

“Pembangunan kawasan bermula pada 1900 dengan membina balai polis di tanah yang diwakafkannya, beberapa bangunan rumah kedai dan pendidikan agama.

“Industri limau tambun itu sendiri bermula pada 1880 oleh Toh Lembang dengan bantuan pekerja dari Indonesia. Benih dibawa dari negara itu dan tanamannya menjadi di kawasan ini kerana kesesuaian tanahnya yang merupakan tapak lombong.

“Sehingga kini, ladang limau tambun masih wujud di kawasan Tambun kerana tanahnya yang kaya dengan mineral menjadikan buahnya besar dan manis berbanding ditanam di kawasan lain,” katanya.

Katanya, Tambun juga rancak dengan pembukaan ladang kopi pada awal abad ke-20 sebelum dipindahkan ke Gopeng.

Toh Lembang ( bermisai) dikatakan gemar memburu bersama rakan dan gambar ini diambil di Kampung Tambun Tengah yang sekarang ini dikenali sebagai Kampung Tersusun Batu 4.

“Ladang kopi telah dibuka secara besar-besaran sehingga kawasan bukit terletaknya ladang ini dikenali sebagai Kopisan yang bermaksud bukit kopi dalam bahasa Cina. Namun, ladang itu dipindahkan ke Gopeng bagi aktiviti perlombongan bijih timah.

“Sejarah penubuhan pekan ini sangat banyak dan bangunan-bangunan kedai lama ini adalah bangunan asal yang masih terpelihara. Dahulu bangunan ini adalah milik moyang sebelum dipindah milik kepada orang lain,” katanya.

Azmir berkata, beliau mengharapkan agar sejarah Toh Lembang dapat dizahirkan dengan adanya galeri bersama fakta sejarah selain menyambung kembali salasilah keluarga.  

Syiar Islam diperkukuhkan

Imam masjid, Firuz Dalili Hashim berkata, Masjid Al-Ihtidaiyah (masjid lama) Tambun merupakan masjid pertama dibina oleh Toh Lembang pada 1922 bagi menyatukan penduduk ketika itu.

Menurutnya, sebuah madrasah telah dibina berhadapan dengan masjid  berkenaan pada tahun 1928 untuk dijadikan pusat pengajian anak-anak penduduk.

Madrasah yang dibina Toh Lembang pada tahun 1928 dijadikan pusat pengajian ketika itu.

“Toh Lembang berpandangan jauh apabila mewakafkan tanah-tanah miliknya hingga kini dijadikan tanah perkuburan, pembinaan masjid baharu serta sebuah bangunan kedai dua tingkat yang mana wangnya disalurkan untuk membiayai masjid ini.

“Sudah tentu seni binaan masjid ini menarik apabila ia sangat strategik walaupun dibina di tanah rendah, masjid ini tidak pernah ditenggelami air selain lantainya yang sejuk,” katanya.

Katanya, Toh Lembang telah memikirkan masa hadapan anak cucunya apabila dia membina sekolah dan masjid selain mewakafkan tanah untuk keperluan jangka panjang.

“Walaupun mempunyai masjid baharu berhampiran, masjid ini tidak dilupakan dan kita masih meneruskan pelbagai aktiviti pengajian untuk penduduk setiap minggu.

“Antara aktiviti yang diadakan adalah kelas pengajian yang diadakan selepas Maghrib dan Isyak serta pengajian al-Quran setiap pagi. Kelas agama diteruskan sejak masjid ini bina sehingga sekarang,” katanya.

Firuz Dalili berkata, masjid itu pernah menjadi tumpuan pelajar-pelajar berhampiran termasuk kem tentera untuk mendirikan solat Jumaat pada tahun 70-an.