PADANG RENGAS - Sebut saja ‘jelapang padi’, kawasan mana yang terus menerjah fikiran anda? Sudah pasti ramai menyebut negeri Kedah Darul Aman.

Umum mengenali negeri tersebut sebagai jelapang padi kerana dipenuhi bendang di seluruh negeri namun tahukah anda terdapat kawasan lain dulunya turut digelar sedemikian.

Tentu anda tidak terfikir Padang Rengas dulunya pernah digelar jelapang padi? Terletak dalam daerah Kuala Kangsar, kawasan itu saksi kepada kewujudan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) pertama dalam negara.

Kisah itu diceritakan Datuk Khairuddin Arshad kepada penulis baru-baru ini. Beliau merupakan Pengerusi PPK Padang Rengas yang menyambut ulang tahun Jubli Emas (50 tahun) baru-baru ini.

Merupakan anak jati Padang Rengas, tidak hairanlah beliau begitu arif sejarah kawasan itu. Memulakan kisah, Khairuddin memaklumkan semuanya bermula apabila bekas perdana menteri, Tun Abdul Razak menyedari pentingnya negara mempunyai sumber makanan sendiri.

“Beliau cadang untuk tubuhkan PPK. Pada waktu itu, Padang Rengas digelar jelapang padi, ada banyak sawah di kawasan ini. Keluasannya mencecah beribu-ribu hektar. Sana-sini ada bendang, hijau semuanya.

“Kementerian pada waktu itu juga tahu kawasan ini menghasilkan padi dan hasilnya juga amat baik. Melihat keupayaan Padang Rengas, sebuah PPK pertama ditubuhkan pada Februari 1968. 

“Kalau dulu, sebut saja Jelapang Padi memang orang akan teringat Padang Rengas namun sayangnya sekarang tidak lagi,” katanya ketika ditemui sambutan Jubli Emas PPK Padang Rengas, di sini, baru-baru ini.

Sijil Pendaftaran PPK Padang Rengas yang dahulunya di bawah nama Persatuan Peladang Mukim Kampong Buaia.

Tanam dua kali setahun

Tambahnya lagi, PPK Padang Rengas juga antara pihak bertanggungjawab memperkenalkan penghasilan padi dua kali setahun selepas mengambil benih dari Jepun dan Taiwan.

“Berlakunya revolusi dalam penanaman padi di Padang Rengas. Dulunya pesawah tanam untuk makan tapi jual pula bila ada PPK. Hasilnya berlipat kali ganda bila kita usahakan secara serius.

“Masa itu ada beli baja, racun, kos untuk selenggara jentera bajak, semua itu tingkatkan kos tapi hasil juga meningkat. Dapat jugalah tambah ekonomi orang Melayu pada waktu itu.

“Selang beberapa tahun, banyak kilang dibina di bandar-bandar maka ramailah orang muda berhijrah untuk dapatkan kerja di sana. Tinggallah orang tua saja usahakan bendang,” ujarnya.

Menurut Khairuddin, diusahakan orang tua tidaklah menjadi masalah namun jumlah bendang semakin menyusut apabila sumber air terjejas, air sungai menjadi semakin cetek.

“Bila sumber air terjejas, banyaklah sawah ditinggalkan begitu sahaja. Dalam masa sama, tumbuh pula PPK lain yang beri fokus kepada tanaman lain membuatkan padi di Padang Rengas terus tenggelam.

“Kawasan Hilir Perak pula jadi tumpuan kerana di sana sumber air bagus. Mereka juga ada tanam kelapa sawit, jadi mereka mendahului kami meskipun kami PPK terawal dalam Malaysia,” katanya.

Ahli-ahli persatuan diajar memahirkan diri dalam penggunaan jentera.

Tinggal 311 hektar sawah 

Ujar Khairuddin, kini hanya tinggal kira-kira 311 hektar sawah padi di Padang Rengas sedangkan dulunya ia melibatkan keluasan beribu-ribu hektar, banyak terbiar kerana kurangnya sumber air ke bendang.

“Kampung Paya Panjang, Lalang, Kroh Hulu, Sto, Labu Kubong, Rambung, semua kampung itu ada sawah padi tapi sekarang hanya beberapa kampung saja ada lagi sawah padi.

“Banyak kita hilang termasuklah alat-alat digunakan sebelum datangnya mesin. Sekarang semua sudah tiada. Waktu itu kita gunakan kerbau, jadi alatannya juga berbeza berbanding sekarang,” katanya.

Menurut Khairuddin, padi sinonim dengan orang Melayu sehinggakan banyak pantun menggunakan perkataan berkaitan padi, bendang, pesawah dan beras.

“Tetapi sekarang sayangnya trend orang muda, ada yang tak makan nasi kerana ada makanan lain sedangkan padi dahulunya memang sangat terkenal,” ujarnya.