TRONG - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul terutama ketika bulan Ramadan. Itulah yang terpaksa dihadapi mangsa banjir di beberapa lokasi sekitar Trong malam semalam.

Seramai 38 mangsa berjaya diselamatkan selepas terperangkap di rumah mereka akibat banjir membabitkan dua lokasi berasingan, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Rafeel Hairul Richard  berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.03 petang.

Menurutnya, di lokasi pertama anggota berjaya menyelamatkan 11 sekeluarga termasuk enam kanak-kanak lelaki dan perempuan.

“Kesemua mangsa berkenaan berjaya diselamatkan dan dipindahkan dari rumah mereka yang dinaiki air akibat banjir,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rafeel berkata, sebaik selesai operasi menyelamat di Kampung Sungai Bemban, anggota kemudian memberi tumpuan di kawasan Batu Hampar.

“Di lokasi terbabit terdapat seramai 27 mangsa yang turut terperangkap di rumah mereka akibat banjir.

“Daripada jumlah tersebut, tujuh adalah lelaki, sembilan wanita dan 11 kanak-kanak,” katanya.

Keadaan banjir di beberapa lokasi di sekitar Trong.

Mengulas lanjut, Rafeel berkata, anggota telah bertindak menyeberang dan membantu mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap.

“Anggota telah memimpin mangsa dengan menggunakan tali ke tempat yang selamat.

“Bagaimanapun, beberapa mangsa memilih untuk tinggal bersama saudara mara yang berada di kawasan berhampiran.

“Manakala selebihnya berpindah ke pusat pemindahan banjir sementara,” katanya.

Tambah Rafeel, anggota dari semasa ke semasa sentiasa melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.

“Operasi menyelamat selesai kira-kira jam 4.30 pagi,” katanya.

Sementara itu, lima pusat pemindahan mangsa banjir di kawasan Trong masih dibuka sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Rafeel berkata, ia membabitkan pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK)  Batu Hampar, SK Temelok, Surau Kampung Jawa, Masjid Nurul Hidayah dan Dewan Orang Ramai Matang Merbau manakala Dewan Orang Ramai Nibong telah ditutup.

Menurutnya, semua lima pusat pemindahan itu telah menempatkan seramai 398 mangsa membabitkan 110 keluarga.

“Bagi pusat pemindahan di SK Batu Hampar, terdapat 44 mangsa daripada 11 keluarga,” katanya.

Tambah Rafeel, di SK Temelok pula 159 mangsa melibatkan 50 keluarga.

“Pusat pemindahan di Surau Kampung Jawa pula menempatkan 19 mangsa melibatkan enam keluarga,” katanya.

Jelas Rafeel, jumlah mangsa paling ramai adalah di Masjid Nur Hidayah, Sungai Bemban iaitu 168 orang daripada 42 keluarga.

“Manakala pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Matang Merbau hanya menempatkan sebuah keluarga membabitkan lapan mangsa,” katanya.