SERI ISKANDAR - Sistem perparitan di Taman Teknologi Seri Iskandar (SIDEC) Seksyen 7 dan 8 yang sebelum ini tidak diselenggara dengan baik akan dibersihkan dalam tempoh dua minggu.

Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan berkata, beliau telah bertemu Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Tanah dan Daerah Perak Tengah bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan isu perparitan itu semalam.

Menurutnya, setelah pertemuan dan lawatan dilakukan ke lokasi terlibat, JPS berjanji membersihkan kawasan itu secepat mungkin.

“JPS menjanjikan sistem perparitan sepanjang lebih kurang 2 kilometer itu akan dibersihkan dalam dua minggu.

“Selepas itu proses penyelenggaraan akan dilaksanakan MDPT kerana sistem perparitan berkenaan berada di bawah selenggaraan MDPT,” katanya ditemui semasa lawatan ke lokasi terlibat.

Sebelum ini penduduk menyuarakan rasa kurang selesa terutama dari segi keselamatan apabila sistem perparitan itu yang tidak diselenggara menjadi habitat binatang berbisa.

Sistem perparitan di Persiaran Iskandar Perdana 43, Seksyen 8 juga tidak mempunyai pengadang yang boleh membawa risiko kemalangan jika tiada sebarang alternatif diambil.

Mohd Zaim berkata, beliau mengeluarkan peruntukkan di bawah Ahli Parlimen bagi membantu menyegerakan kerja-kerja pembersihan.

“Kos agak tinggi untuk melakukan kerja-kerja pembersihan ini kerana banyak semak samun serta pokok besar sudah memenuhi ruang perparitan.

“Kita harap kerja-kerja pembersihan ini dapat dijalankan seperti dijanjikan supaya penduduk di sini tidak lagi berdepan masalah sama,” katanya.

Katanya, MDPT juga akan berusaha mencari peruntukkan bagi menaik taraf sistem perparitan di Persiaran Iskandar Perdana 43, Seksyen 8.

“MDPT akan berusaha untuk menaik taraf sistem perparitan itu dan diharapkan penduduk dapat bersabar.

“Tahniah kepada penduduk termasuklah Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 8 yang sentiasa aktif dan mengambil berat soal kebajikan penduduk kawasan mereka,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha JPP Zon 8, Norbidawimunir Arshad berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen dan agensi terlibat atas tindakan segera yang dilakukan.

“Terima kasih kerana aduan kami diambil tindakan segera dan berharap masalah ini dapat diselesaikan seperti dijanjikan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Pasangan suami isteri kini mampu menarik nafas lega apabila masalah longkang runtuh yang berlaku awal Januari lalu sehingga meranapkan sebahagian tembok pagar rumah mereka di Lorong Alor Akar 72 di sini mendapat perhatian dan tindakan segera Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
  • KOTA BHARU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan menjangkakan enam jajahan sekitar lembangan sungai negeri itu akan dinaiki air mulai pukul 1 pagi esok.
  • PASIR MAS - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan sedang menangani hakisan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pasir Parit, Chetok di sini.
  • KANGAR - Ketua Audit Negara mengesyorkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis mengkoordinasi semua sungai di negeri ini serta membuat pemantauan dan pemuliharaan sungai secara berkala bagi menjamin kualiti air untuk keperluan pengguna.
  • KUALA ROMPIN - Bukan sekadar memudahkan peniaga makanan membuang minyak masak terpakai, ia sekali gus mengelak longkang menjadi kotor dan bermasalah.