JELAPANG - Dua lelaki termasuk seorang pelajar maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Ipoh - Lumut berhampiran Puncak Jelapang, semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, penumpang kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton, Zulfaqar Khirul Nizam, 13, yang maut di tempat kejadian.

Manakala Ahmad Zhafran Yunus, 22, pemandu kenderaan terbabit meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang setelah mengambil anak majikannya dari sekolah.

Anggota Bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit kenderaan pacuan empat roda, semalam.

“Siasatan awal mendapati kenderaan itu dari arah Jelapang menghala Menglembu telah memotong kenderaan lain sebelum hilang kawalan dan berpusing memasuki lorong bertentangan lalu melanggar bahagian hadapan lori tersebut.

“Rempuhan itu menyebabkan remaja terbabit tersepit di dalam kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba manakala pemandu yang parah dibawa ke HRPB untuk rawatan kecemasan.

“Bagaimanapun, pemandu terbabit disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital tersebut pada pukul 3.50 petang.

“Pemandu lori berusia 44 tahun pula tidak cedera. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.