KUALA KANGSAR – Dua warga emas maut digilis bas ekspres dalam kemalangan di Kilometer 69.5, Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Kampung Chuar Hulu di sini, semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, motosikal yang ditunggang mangsa, Sabri Pandak Abdul Rahman, 73 dan dibonceng sahabatnya, Abu Hasan Ngah Nawas, 70, dalam perjalanan menuju ke Kati.

Ketika kedua-dua sahabat berada di tengah jalan untuk memasuki simpang terbabit, bas ekspres yang dinaiki 20 penumpang dari Terengganu dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya lalu merempuh mangsa.

Kedua-dua warga emas terbabit dikatakan terperosok di bawah bas menyebabkan sebahagian badan mangsa hancur digilis tayar bas seberat 12 tan itu.

Sementara itu, anak tiri Abu Hasan, Azina Abd Rahman, 30, tidak menyangka keakraban bapa tiri bersama sahabatnya itu petanda kehilangan kedua-dua mereka dalam masa sama.

“Kedua-dua mereka agak rapat dalam sebulan ini. Pergi ke mana pun mesti berdua,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat di Hospital Kuala Kangsar.

Azlina turut sayu apabila rancangan keluarga untuk meraikan hari lahir isteri arwah, Zainab, 55, bertukar menjadi majlis tahlil.

“Kami memang merancang bersama untuk meraikan hari lahir ibu. Tidak sangka rancangan kami tidak terlaksana malah bertukar kepada majlis tahlil,” katanya.

Jenazah kedua-duanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Enggor hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Muhammad berkata, bas ekspres terbabit dalam perjalanan menuju ke Lumut.

Katanya, bas berkenaan dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum merempuh motosikal yang dinaiki mangsa.

Katanya, kedua-dua mangsa yang berasal dari Enggor itu maut di tempat kejadian.

“Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan cedera parah di bahagian kepala.

“Kedua-dua jenazah telah dituntut oleh waris mangsa manakala, pemandu bas ditahan untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA PILAH - Seorang wanita maut setelah kereta yang dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah lori kargo sedang berhenti di Kilometer 17 Jalan Seremban -Kuala Pilah awal pagi tadi.
  • SEBERANG TEMERLOH - Dua beranak orang kurang upaya (OKU) yang menaiki motosikal terlibat kemalangan mengakibatkan bapa meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak patah kaki dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Temerloh Gunung Senyum, Kuala Krau di sini kira-kira 6.30 petang semalam.
  • PONTIAN - Pemandu kereta Toyota Altis yang terlibat dalam kemalangan maut dua remaja berbasikal di Kilometer 1.3 Jalan Sawah Ulu Pulai, Pekan Nanas di sini Khamis lalu, dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman empat harinya berakhir hari ini.
  • SUNGAI UDANG - Seorang pejalan kaki menemui ajal selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Sungai Udang, di sini, pagi semalam.
  • BENTONG - Dua maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki lima sekeluarga hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 41.1 Lebuhraya Kuala Lumpur Karak menghala ke Kuantan di sini, tengahari tadi.