TAIPING – Polis menahan dua lelaki dipercayai pengedar dadah dalam satu pemeriksaan di sebuah apartment di Kamunting di sini, dan merampas dadah bernilai RM13,000, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Taiping telah memeriksa apartment yang disewa suspek berusia 28  dan 34 tahun itu pada kira-kira jam 4 pagi.

“Berdasarkan maklumat, pasukan berkenaan tmenahan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki dua suspek berkenaan di kawasan sebuah resort berhampiran.

“Bagaimanapun, pemeriksaan tidak menemui bahan terlarang, sebaliknya menjumpai kunci apartment berkenaan sebelum menyerbu berpandukan kedua-dua suspek,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dua peket plastik berisi 445 gram heroin dan 0.05 gram syabu bersama kereta yang merupakan milik isteri salah seorang suspek, dirampas.

“Dipercayai dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan disekitar kawasan Kamunting dan Taiping. Kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau dalam dadah dan jenayah.

“Mereka direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama,” katanya.