KUALA KURAU - Setelah dua bulan bumbung rumah didiami pasangan warga emas di Kampung Parit Tok Kip di sini, terjejas akibat ribut, ia masih belum dibaik pulih.

Lebih memilukan, bahagian dapur rumah Md Sabli Arshad, 70, kini hanya dilitupi kanvas dan akan digenangi air setiap kali hujan.

Md Sabli berkata, pada 24 Mac lalu, bumbung bahagian dapur rumahnya diterbangkan ribut menyebabkannya mengalami kerugian lebih RM5,000.

Menurutnya, ekoran kejadian, dia membuat laporan polis dan mengemukakan permohonan bantuan membaik pulih bumbung rumah kepada Pejabat Penghulu Mukim Kuala Kurau dan ketua kampung.

“Banyak pihak datang meninjau keadaan rumah pakcik. Ada wakil agensi kerajaan beritahu pakcik tak perlu risau sebab kos baik pulih bumbung dapur akan ditanggung mereka.

“Lepas dua bulan, bumbung dapur rumah pakcik masih tak dibaiki, terpaksa pula tutup dengan kain kanvas. Tiap kali hujan, dapur penuh air,” katanya sewaktu menerima kunjungan ziarah Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain dan kepimpinan Pas kawasan Parit Buntar, semalam.

Md Sabli (kiri) dan isteri menunjukkan keadaan keseluruhan bumbung dapur rumahnya yang kini hanya beralaskan kanvas.

Md Sabli berkata, kos membaik pulih keseluruhan bumbung dapur rumahnya dianggar mencecah RM5,000 dan dia tidak mempunyai wang sebanyak itu.

Katanya, dia bingung memikirkan status baik pulih rumahnya memandangkan sehingga kini jawapan diberikan adalah ‘permohonan bantuan masih diproses’.

“Seminggu lagi dah nak puasa, rumah kami masih begini. Sebelum ini, ada juga orang kampung kutip duit nak ringankan beban pakcik baiki sendiri bumbung rumah, tapi masih tak cukup,” katanya.

Dia masih mengharapkan bantuan agensi kerajaan berkaitan, sekurang-kurangnya sebelum menjelang perayaan Aidilfitri.

“Kalau mereka terus diam diri, saya terpaksa merayu sumbangan orang ramai untuk membiayai kos baiki bumbung,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar ketika ditemui mendesak agensi kerajaan berkaitan menyegerakan kelulusan permohonan bagi memastikan keluarga itu dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Menurutnya, pihak berkenaan sewajarnya bertindak pantas dalam memastikan kerja membaik pulih rumah mangsa ribut dijalankan segera.

“Saya bersimpati dengan nasib keluarga Md Sabli yang terpaksa menggunakan kanvas bagi menutup sementara bumbung dapur rumah mereka yang terjejas diterbangkan ribut dua bulan lalu.

“Adakah pihak berkenaan hendak tunggu waktu pilihan raya bermula baru hendak baik pulih rumah mangsa ribut?” katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Penghulu Mukim Kuala Kurau sewaktu dihubungi memaklumkan tidak pernah mengemukakan jaminan akan membaik pulih segera kerosakan bumbung rumah keluarga mangsa ribut sebagaimana didakwa.

Menurutnya, permohonan membaik pulih bumbung rumah Md Sabli sudah dihantar kepada Yayasan Bina Upaya (YBU) dan kini sedang diproses.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JASIN - Seorang warga emas maut ketika menunggang basikal di Kilometer 30 Selandar-Kesang di sini semalam.
  • SHAH ALAM - Satu pelan khusus kepada warga emas perlu dirangka menjelang ‘negara tua’ tahun 2030.
  • IPOH - Orang ramai terutamanya warga emas perlu menjauhi mana-mana individu tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa pukau atau terpedaya dengan helah hingga mengakibatkan kerugian harta benda.
  • LEGEH - Seorang warga emas di sini hanya bergantung kepada ihsan anak-anak untuk meneruskan kehidupan sehariannya setelah tidak lagi berupaya untuk melakukan sebarang pekerjaan.
  • SETIU - Bot kargo gentian kaca membawa 300 kilogram ikan pelbagai jenis terbalik di muara sungai di Kuala Merang, kira-kira 12.30 tengahari tadi.