CHANGKAT JERING - Tindakan Dr. Burhanuddin Al-Helmy menceraikan isterinya dari Singapura kerana tidak bersedia  datang ke semenanjung untuk sama-sama memimpin Pas bukti baiah sangat penting kepada Pas.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria ketika membacakan amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan perkara sama turut dilakukan oleh bekas  ahli jawatankuasa Pas Pusat, Prof Ahmad Ibrahim turut meninggalkan jawatan besar di Singapura dan datang ke semenanjung untuk menunjukkan pegangan mereka kepada baiah yang tidak ada dalam wawasan dunia.

Menurutnya, baiah yang dilaksanakan oleh  Pas menjadikan ahli-ahlinya lebih istiqamah dalam landasan perjuangan Islam dan matlamat asalnya.

"Bagi mereka yang berniat bersama Pas hanya sekadar untuk bermain di hotel atau jambatan pendek menyeberang cita-cita dunia atau sekadar  menjadi penonton sahaja diucapkan selamat tinggal.

"Jangan beratkan bahtera Pas dan jangan sesekali bazirkan tenaga ahli-ahli Pas.

"Baiah lebih mewajibkan Pas supaya tidak menukarkan akidah perjuangan Islam, tidak dicabar kedudukan Islam yang wajib memimpin negara dan jangan mempertikaikan sewenang-wenangnya pelaksanaan syariat Islam," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pas Perak PRU14, di Markas Tarbiyyah, Air Kuning, di sini semalam.

Dalam pada itu, Razman berkata, Pas juga telah membuktikan keimanan perjuangan Islam dengan melebihi kecintaan kepada dunia.

"Selain itu, baiah adalah perjanjian dengan ALLAH dan ia perlu difahami kerana telah diamalkan sejak zaman Rasulullah lagi," katanya.

Sementara itu, Razman dalam ucapannya juga turut menegaskan bahawa Pas berpolitik adalah untuk menegakkan daulah Islamiah.

"Pas berada dalam persada politik negara adalah berkat istiqamah, ikhlas pemimpin dan ahli-ahlinya yang terus berjuang dan bertindak berdasarkan kepada petunjuk tang menjadi garis panduan iaitu al-Quran, hadith, ijmak ulama dan qias.

"Malah Pas juga amat yakin bahawa perjuangan ini adalh fisabilillah itu menyambung kerja-kerja nabi.

"Pas ingin menyelamat seluruh ummah daripada memperhambakan diri kepada dunia kerana kita tidak pernah lari daripada dasar penubuhan parti sejak ia mula ditubuhkan," katanya.