IPOH - Perkhidmatan dobi dilihat perniagaan yang berpotensi untuk dibangunkan koperasi masjid.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, perkhidmatan itu kini menjadi keperluan dalam masyarakat terutama mereka yang berkerjaya.

Menurutnya, kebanyakan golongan ini tidak mempunyai banyak masa untuk melakukan kerja mencuci sendiri dan menghantar ke dobi adalah perkara yang menjimatkan masa dan tenaga.

“Melihat potensi ini, Angkasa melalui bahagian inovasi dalam cadangan untuk membangunkan mesin basuh yang patuh syariah.

“Sebelum ini ada pertikaian tentang proses pengaliran air di dalam mesin basuh sedia ada. Jadi kita cuba cari inisiatif supaya masyarakat tidak was-was,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Seminar Koperasi Kariah Masjid peringkat Kebangsaan 2017 semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk), Mohd Haidi Sulaiman.

Dalam perkembangan lain, beliau yakin usaha untuk mewujudkan 500 koperasi dalam masjid seluruh Malaysia menjelang 2020 akan dicapai lebih awal.

Ini kerana katanya, sehingga 30 Jun 2017, sebanyak 426 koperasi dalam masjid seluruh Malaysia telah didaftarkan.

Sementara itu, seramai 150 peserta terdiri wakil koperasi dalam masjid seluruh nagara telah menjayakan seminar selama dua hari yang bermula 9 Disember 2017.