Suatu ketika dahulu Bagan Datoh boleh diibaratkan syurga kelapa dan kurniaan kawasan tanah subur serta bersesuaian dari Yang Esa, yang memudahkan tanaman kelapa membiak, daerah ini telah menjadi antara pembekal terbesar kelapa negara.

Industri penanaman kelapa di Bagan Datoh mula pesat sekitar 1899 dengan produk kelapa kering menjadi eksport utama.

Namun, status daerah ini sebagai pengeluar terbesar kelapa semakin malap selepas jumlah kelapa yang dikeluarkan semakin merosot kerana pelbagai faktor dan menyingkap kembali masalah itu, beberapa pengusaha berkongsi masalah yang dihadapi.

Ahmad Zubairi Mokti, 43 berkata, ancaman musuh tanaman seperti kera, babi hutan dan kumbang yang merosakkan tanaman, khususnya kelapa merupakan antara punca industri kelapa di Bagan Datoh semakin malap

Beliau merasakan tanaman kelapa seolah-olah tiada masa depan selagi musuh tanaman berkenaan tidak dihapuskan atau dikawal.

"Tidak dinafikan, kelapa merupakan salah satu komoditi yang menguntungkan. Tetapi sekarang ini, ramai yang mengeluh kerana ancaman musuh tanaman.

"Masalah ini dipercayai berpunca dari habitat asal haiwan berkenaan yang sudah terancam menyebabkan kebun serta tanaman penduduk kampung menjadi mangsa untuk haiwan-haiwan itu mendapatkan makanan,"
katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Zubairi pernah mengusahakan kebun kelapa seluas 1.6 hektar yang kini telah digantikan sepenuhnya dengan kelapa sawit.

"Selepas menanam kelapa sawit, masalah sama tetap timbul, tetapi tidak seteruk kelapa biasa. Masalah ini telah lama dihadapi oleh lebih 300 pekebun di sekitar persisiran laut dari Hutan Melintang hingga ke Bagan Datoh," jelasnya.
 
Kumbang musnahkan kelapa Matang

Pengusaha kelapa matag, Ke Seong Chow, 74 dari Parit 9, Sungai Sumun pula memaklumkan, kumbang juga membawa ancaman besar ke atas kelapa kerana apabila berlaku serangan kumbang, tiada yang dapat diselamatkan, menyebabkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

Menceritakan pengalamannya, Seong Chow berkata, tanaman kelapa matag yang diusahakannya sejak 2008 musnah sekelip mata akibat serangan kumbang dan lebih memburukkan keadaan, terdapat sisa buangan kelapa yang diusahakan sebuah kilang berhampiran tidak dibuang dengan betul sehingga sebahagiannya menjadi tempat pembiakan kumbang.

"Kami yang terpaksa tanggung kerugian besar akibat serangan kumbang. Malah ramai pengusaha menukar tanaman kepada kelapa sawit kerana kecewa dengan masalah dihadapi.

"Kelapa matag menjadi sasaran kumbang kerana umbut kelapa jenis ini lebih manis berbanding kelapa jenis lain," katanya.

Beberapa pekebun kecil lain turut memaklumkan, lambakan kelapa import turut menjadi punca kelapa Bagan Datoh tidak mendapat sambutan dan mereka berpendapat, masalah itu perlu diatasi bagi memastikan kestabilan pasaran kelapa negara.

Masih ada masa depan

Sementara itu, Pegawai Fama Daerah Hilir Perak, Mohd Nordin Abd Wahab memaklumkan, komoditi kelapa mempunyai masa depan cerah dan permintaan terhadap kelapa masih tinggi, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.

Menurut beliau, tahun lalu, hanya 135,254 biji kelapa dipasarkan melalui Fama Hilir Perak dengan nilai RM128,368.90, dan bagi memastikan bekalan kelapa sentiasa mencukupi, pelbagai program diatur untuk pekebun kecil serta usahawan tani.

"Fama turut mewujudkan tiga Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) bagi mengumpul kelapa-kelapa dari pekebun kecil untuk dipasarkan. Setakat ini kami tidak pernah menolak kelapa-kelapa yang dihantar, cuma memilih mengikut kualiti.

"Fama bersama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) turut memperkenalkan ladang kontrak bagi memastikan jaminan pasaran kelapa. Program berkenaan dapt membantu pekebun kecil menjana pendapatan selain pelbagai samuan disalurkan," katanya.

Bagi pembeli, mereka akan mendapat bekalan berkualiti dan berterusan pada masa yang diperlukan mengikut spesifikasi pasaran.
Kementerian umum pemulihan

Dalam usaha membantu pekebun kecil kelapa di Bagan Datoh, MOA bersedia memenuhi permintaan mereka menghentikan import kelapa dari Indonesia sekiranya bekalan kelapa negara mencecah tiga juta biji, setiap musim perayaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, atuk Seri Noh Omar mengumumkan perkara itu dan pernah berkata, kementerian mengambil langkah mengimport kelapa dari Indonesia sebanyak tiga juta biji setahun dengan kos RM0.80 sebiji, membabitkan kos RM24 juta bagi untuk memenuhi permintaan pengguna menjelang muskim perayaan.

"Langkah mengimport kelapa dari negara ini diambil kerana pekebun gagal memenuhi permintaan tiga juta biji kelapa setiap kali musim perayaan," katanya selepas melancarkan Majlis Penyerahan bantuan kepada 144
Pekebun Kecil Projek Pemulihan Kelapa Matag Parlimen Bagan Datoh, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, rayuan pekebun kelapa matag untuk mendapat pampasan atas kerugian yang dialami pada tahun 2000 tidak dapat dilaksanakan kerana ia bukan satu keutamaan.

Namun, beliau berkata, projek tanaman kelapa matag patut diteruskan kerana MOA telah memberi peruntukan tambahan RM17 juta di bawah Pelan Pemulihan Tanam Semula Kelapa Matag 2000-2008 membabitkan kawasan seluas 207 hektar di Bagan Datoh.

"Peruntukan tambahan sebanyak RM3 juta telah diluluskan bagi memastikan program ini dilaksana dengan jayanya serta boleh mengeluarkan hasil menjelang 2014.

"Sebelum ini pekebun jalankan tanaman kelapa atas usaha sendiri, menyebabkan mereka kerugian. Tetapi di bawah program ini, kemeterian akan memantau projek tanaman kelapa sari semasa ke semasa sehingga mengeluarkan hasil," katanya.

Katanya, kementerian akan menyediakan tanah, peralatan mesin, baja dan racun serta khidmat bimbingan kepada pekebun kelapa dan sementara menunggu kelapa matag mengeluarkan hasil, pekebun diminta mengusahakan tanaman selingan seperti koko, kopi, nenas, jagung dan pisang.

"Langkah MOA meluluskan peruntukan tambahan berkenaan bagi 12 kampung telah melegakan 144 pekebun kecil yang telah menunggu selama 11 tahun," katanya.

MOA meluluskan peruntukan RM12juta dalam tahun 2000 bagi melaksanakan projek tanaman matag membabitkan 183.4 hektar di Kawasan Parlimen Bagan Datoh tetapi mengalami kegagalan.

Kebimbangan pekebun kecil reda apabila Menteri Pertanian dan lndusteri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mengumumkan persetujuan MOA meneruskan projek tanaman kelapa matag di Bagan Datoh di bawah program pembangunan pemulihan.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Datoh, Che Ros Osman, mewakili pekebun kecil menyatakan penghargaan tinggi kepada MOA kerana telah mendengar rayuan mereka.

“Antara kampung yang terpilih menyertai program itu ialah Kampung Sungai Haji Muhammad, Sungai Pergam, Titi Serong, Sungai Batag, Sungai Ular, Matang Kunda, Sungai Nipah Baruh, Sungai Baklai Baruh, Sungai Betul, Simpang Tiga dan Tebuk Mukmin,” katanya.

Benih matang berkualiti

Menurut Che Ros, sebanyak 110 pokok kelapa matag boleh ditanam untuk sehektar tanah dan ia mampu mengeluarkan hasil sebanyak 6,160 sehektar selepas lima tahun ditanam dengan purata pendapatan RM4,000 sehektar untuk setahun.

Katanya, pekebun kecil kelapa di sekitar kawasan Parlimen Bagan Datoh yang bercadang menanam kelapa matag dan mawar dinasihatkan mendapat klon bermutu tinggi keluaran stesyen Institut Penyelidikan dan Kemajuan
Pertanian Malaysia (Mardi) Daerah Hilir Perak.

Pengurus stesyen MARDI, Ahmad Ngalim  menjelaskan, hanya klon matag keluaran MARDI mampu memberi pendapatan lumayan dan ramai pekebun yang membeli benih matag keluaran ladang swasta yang tidak cukup matang mengalami kerugian kerana hasilnya sangat kurang.

"Kebiasaannya, satu tandan boleh menghasilkan 10 biji kelapa matag atau lebih, bergantung kepada kuantiti baja yang digunakan serta seliaan bersistematik. Tanaman Matag mampu menghasilkan 25,000 biji sehektar setahun dengan pulangan RM4,000 sehektar setahun,” katanya

Ahmad berkata, kawasan Rungkup adalah antara lokasi sesuai untuk tanaman matag di bawah Kelapa Tinggi (Malaya Tall) yang memberi pendapatan lumayan kepada pekebun kecil jika dilaksanakan secara bersistamatik.
“MARDI sedia memberi khidmat nasihat dan menyediakan klon matag bermutu tinggi kepada pekebun kecil yang bercadang menanamnya,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RHU SEPULUH - Dewan Perniagaan Usahawan Agro Malaysia (DPUAM) mensasarkan seramai 3,000 usahawan dan bakal usahawan dalam industri agro makanan mendapat geran yang diperuntukkan untuk mereka.
  • PERMINTAAN tinggi terhadap asam keping mendorong seorang nenek 11 cucu di Kampung Hulu Sat untuk terus setia mengusahakan penambah rasa dalam masakan itu sejak lebih 25 tahun lalu sebagai sumber pendapatan sampingan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.