IPOH - Sebuah jawatankuasa kerja ditubuhkan bersama pemain perniagaan utama negeri bagi meneliti dan mengkaji masalah yang dihadapi oleh pelbagai komuniti perniagaan di negeri ini.

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Cina Perak (PCCCI), Datuk Liew Sew Yee berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan dengan kerjasama antara pihaknya bersama Dewan Perniagaan Melayu Perak dan Dewan Perniagaan Antarabangsa Malaysia Perak.

“Penubuhan jawatankuasa ini diumumkan semasa mesyuarat pertama membabitkan empat dewan perniagaan yang dianjurkan oleh PCCCI.

“Kerjasama ini akan memberi perhatian kepada kepentingan mengumpul maklumat dari ahli-ahli dewan, mengenal pasti isu-isu yang dihadapi oleh komuniti perniagaan dan memantau agensi-agensi

kerajaan mengenai perlaksanaan pelbagai peraturan,” katanya.

Menurutnya, ia juga bertanggungjawab untuk kemukakan kepada kementerian dan agensi berkaitan sebarang perbincangan dan isu-isu yang telah dikenal pasti.

“Isu-isu yang sering dihadapi adalah membabitkan pekerja asing dalam industri perladangan, pembuatan dan industri makanan selain kadar upah minimum.

“Lapangan terbang Sultan Azlan Shah perlu dinaik taraf bagi membuka hab serantau serta infrastruktur lebih baik membabitkan saluran paip gas, tiga lorong lebuh raya dan meningkatkan sistem kereta api ETS. Pembayaran cukai di jeti peribadi turut dilihat,” katanya.

Sew Yee berkata, jawatankuasa itu juga akan mencadangkan penyelesaian untuk memperbaiki persekitaran perniagaan di negeri ini.

“Ini akan meningkatkan daya saing Perak berbanding Selangor dan Pulai Pinang dan diharapkan dapat menarik lebih banyak pelaburan langsung dari luar negara,” katanya.