IPOH - Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri mendesak pihak berkenaan mengawal kenderaan berat daripada memasuki jalan-jalan utama dalam bandar raya Ipoh, terutama pada waktu puncak.

Pengerusi Pemuda BN Negeri, Khairul Azwan Harun menyatakan kesediaan menjadi orang tengah untuk berbincang dengan pengusaha atau persatuan pemilik lori bersama pihak berkuasa jika ia dilihat sebagai satu usaha penyelesaian masalah tersebut.

Beliau mendakwa, tiada tindakan khusus diambil bagi mengatasi masalah berkenaan sungguhpun ia telah lama berlaku.

"Tindakan tegas perlu diambil berhubung masalah berkenaan kerana ia boleh mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya.

"Jika keadaan ini berterusan, dikhuatiri semakin banyak kenderaan berat menjadikan laluan dalam bandar raya sebagai jalan utama tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau mencadangkan sistem pengawalan diadakan agar kenderaan berat tidak menggunakan jalan dalam bandar raya dengan sewenang-wenangnya pada waktu tertentu.

Katanya, surat akan diutus kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bagi mendapatkan perhatian berhubung masalah itu.

"Kita harap tidak berlaku perkara tidak diingini di kawasan ini dan pihak berwajib perlu menyegerakan tindakan serta usaha mengawal bagi membendung masalah ini, sebelum terlambat," tegasnya.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.