TRONG - Penduduk sekitar Mukim Sungai Tinggi di sini, menggesa pihak berkenaan menyelesaikan masalah lalat di kampung mereka yang berlaku sejak dua tahun lalu.

Mereka mendakwa masalah lalat itu berpunca daripada projek ternakan ayam yang secara terbuka di kawasan Kampung Jawa di sini.

Seorang penduduk, N Nadarasan, 60, berkata, projek ternakan ayam itu beroperasi tahun 1990-an lagi, namun masalah lalat makin meruncing dua tahun lalu.

Menurutnya, dia dan beberapa lagi penduduk paling terkesan kerana kedudukan rumah begitu hampir dengan ladang ternakan iaitu lebih kurang 200 hingga 300 meter saja.

Nadarasan berkata, dia bukan saja kecewa tapi sedih kerana anak cucu yang pulang ke kampung juga tidak selesa.

“Bayangkanlah jika dulu setiap kali cuti sekolah, anak cucu akan pulang ke kampung. Tapi sekarang, paling lama cuma dua hari kerana mereka tak tahan dengan masalah lalat,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini dia dan beberapa penduduk ada membuat aduan kepada pihak berkenaan, namun masih belum ada tindakan.

Nadarasan berkata, sekitar Mei lalu, dia pernah mengadakan kenduri di rumahnya.

“Tapi ketika itu, saya sendiri sedih dan malu kerana semua makanan dipenuhi lalat.

“Kita jemput tetamu untuk makan-makan, tapi dengan keadaan ni, mereka pasti tak akan makan,” katanya.

Katanya, sebelum ini difahamkan pengusaha projek itu ada membina reban ayam berhawa dingin dan akan menutup reban terbuka.

“Namun sehingga hari ini, 15 reban ayam secara terbuka masih beroperasi walaupun yang berhawa dingin sudah siap.

“Kami juga difahamkan di lokasi sama dianggarkan empat hektar tanah dikosongkan bagi tujuan pembinaan tambahan 20 lagi reban ayam.

“Jika perkara itu benar-benar berlaku, kesannya pasti akan lebih teruk,” katanya.

Cheng Meng Choy, 70, pula berkata, dia menetap di kampung itu sejak 40 tahun lalu dan sebelum ini tiada sebarang masalah.

“Jika ada masalah lalat, kita faham ia mungkin bermusim dan tidak seteruk sekarang.

“Tapi hari ni, untuk makan dan minum juga tak boleh kerana setiap sudut di dalam serta luar rumah dipenuhi lalat,” katanya.

Menurutnya, masalah lalat ini memang sudah mencapai tahap membimbangkan kerana ia bukan sahaja hinggap pada makanan terdedah tetapi lantai, dinding dan kereta juga dipenuhi lalat.

“Bagaimana kami nak memasak, makan dan minum setiap hari bila rumah dipenuhi lalat,” katanya.

Tutup semua pintu, tingkap

Suri rumah, M Saraswathy, 38, berkata, setiap hari dia terpaksa tutup semua pintu dan tingkap rumah untuk elak lalat masuk.

"Bila semua pintu dan tingkap ditutup, kami memang tak selesa.

“Nak makan pun susah, apatah lagi nak memasak," katanya.

Dalam pada itu, Imam Surau An-Nur, Sungai Nyior, Mudzafar Shah Baharom berkata, beliau juga tidak menafikan masalah tersebut kerana turut mengancam beberapa kawasan berhampiran.

“Bukan saja di Sungai Tinggi tapi Padang Gajah, Kampung Jawa, Batu 18, Ayer Terjun, Sungai Kerang, Sungai Nyior, Matang Merbau dan beberapa sekolah berhampiran turut menerima kesannya.

“Aktiviti di surau juga turut terganggu. Lalat ni bukan saja boleh cemarkan makanan tapi penduduk juga berasa tak selesa,” katanya.

Menurutnya, tiada siapa boleh hidup selesa bila seluruh rumah dipenuhi lalat sebab bukan saja waktu siang, malam hari juga rumah dipenuhi lalat.

"Saya difahamkan ada penduduk terpaksa makan dalam kelambu kerana sudah tak tahan dengan serangan lalat,” katanya.

Reban ayam yang dilakukan secara tradisional atau terbuka masih lagi beroperasi.

Perniagaan terjejas

Peniaga, Abu Bakar Ibrahim, 68, berkata, berniaga adalah sumber pendapatannya sejak 30 tahun lalu.

“Namun sejak kebelakangan ni, pendapatan saya sedikit merosot kerana masalah lalat.

“Jika dulu saya boleh dapat sekitar RM200 sehari, tapi sekarang RM100 saja,” katanya.

Menurutnya, dia perlu mengeluarkan modal sendiri untuk membeli pelekat lalat setiap hari.

"Saya guna 10 keping pelekat lalat setiap hari dengan kos RM10.

“Sudahlah perniagaan makin merosot, kini saya perlu belanjakan RM10 setiap hari untuk beli pelekat lalat.

“Saya terpaksa buat begini untuk kurangkan masalah lalat. Pelanggan tak akan makan dan minum bila makanan dipenuhi lalat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Rizal Yet, 40, berkata, dia begitu kecewa kerana masalah lalat seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

“Jika masalah ni masih berterusan, bagaimana dengan kehidupan kami di sini.

"Bila nak buat kenduri, kami kena buat tempat lain. Kami memang nak ladang ternakan ayam ni ditutup sebab kami tak mahu lagi hadapi masalah lalat," katanya.

Tutup reban ayam terbuka

Sementara itu, Adun Trong, Datuk Dr Zabri Abd Wahid ketika dihubungi berkata, beliau sudah bawa usul masalah tersebut beberapa kali dalam Sidang Dun Perak.

“Malah pihak kerajaan negeri juga mewujudkan satu jawatankuasa berkenaan masalah lalat ini.

“Sehingga hari ini beberapa resolusi dicadangkan tapi masalah lalat masih lagi tidak selesai,” katanya.

Menurutnya, beliau cadangkan agar jawatankuasa lalat dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menutup reban ayam terbuka dan mewajibkan pengusaha menjalankan penternakan secara tertutup.

“Najis atau tinja yang dihasilkan terus diproses menjadi baja organik dan jangan jual najis atau tinja yang tidak diproses kepada pekebun kelapa sawit berdekatan.

“Selain itu, pemantauan lebih kerap oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar harus dilaksanakan selain permohonan baru untuk pembinaan reban perlu jauh dari kampung dan menepati spesifikasi jarak ditetapkan,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BERUAS - Tidak selesa dan menjijikkan. Itu gambaran penduduk Kampung Padang Serai di sini, setelah hampir 10 tahun dibelenggu masalah lalat.
  • DUNGUN - Bau busuk di pesisir pantai Paka, Kampung Cacar di sini sejak semalam terus menjadi tanda tanya apabila penduduk menyangkakan ia datang daripada bau mayat.
  • ALOR PONGSU - Lebih 1,500 penduduk Kampung Changkat Lobak, mendesak kerajaan menutup sementara operasi beberapa ladang ternakan ayam, di sini sehingga isu ‘serangan’ lalat melanda kampung itu diselesaikan segera.
  • SUNGAI SIPUT - Penduduk Kampung Jalong, di sini, sudah seakan sudah lali apabila mereka 'diserang' lalat sejak beberapa tahun lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.