IPOH - Pejabat Pilihan Raya negeri kini mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun Kedua 2018 selama 14 hari mulai 31 Julai lalu.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya negeri, Shazree Idzham Wahab Abdul Rahman berkata, RDPT itu dipamer di 140 tempat antaranya pejabat daerah, pejabat pihak berkusa tempatan (PBT), pejabat penghulu dan pejabat pos terpilih di seluruh negeri.

“Orang ramai yang telah mendaftar sebagai pemilih baharu dan bertukar alamat bagi tempoh April hingga Jun 2018 diminta menyemak RDPT di tempat yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, mereka yang mempunyai sebarang tuntutan dan bantahan boleh menghubungi pejabat Pilihan Raya Negeri Perak dalam tempoh 14 hari. - Bernama