BERUAS - “Isteri saya masih lagi pegang stoking Nur Raisya, dia hanya menangis kenangkan kematian anak kami."

Demikian cerita, Mohd Azlizan Shah Aziz, 33, bapa kepada bayi perempuan berusia dua bulan yang maut dalam kemalangan di Kilometer 14 Lumut-Ipoh di lampu isyarat Kampung Sungai Wangi, 9 malam kelmarin.

Bayi perempuan berkenaan, Nur Raisya Azzahra Mohd Azlizan Shah meninggal dunia jam 1.30 pagi semalam di Hospital Seri Manjung ketika menerima rawatan di wad kecemasan.

Mohd Azlizan Shah berkata, ketika dia menemui isterinya, Noor Safiah Yusof, 23, di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, stoking anak mereka masih ada di genggaman isterinya.

“Isteri saya tak cakap apa, cuma beritahu anak kami dah meninggal. Dia sedih sangat sebab kami memang nak anak perempuan, kami dah ada anak lelaki berusia dua tahun tiga bulan.

“Nur Raisya baru saja masuk dua bulan kelmarin. Saya tak sangka akan kehilangannya pada tarikh itu,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Kabung, di sini, semalam.

Mohd Azlizan Shah berkata, isteri bersama dua anaknya sudah berada di kampung sejak sebulan lalu manakala dia berada di Pahang.

“Kami tinggal di Pahang. Isteri dan anak balik kampung sebelah isteri sejak raya kelima," katanya.

Menurutnya, pada hari kejadian, isterinya membawa dua anak mereka ke Manjung bersama tiga lagi ahli keluarga lain.

“Dia dan dua anak kami, mak mertua saya dan adik ipar serta anaknya pergi ke Manjung untuk beli barang,” katanya.

Menurutnya, dia menerima panggilan orang awam memberitahu berkenaan kemalangan, namun tidak menyangka Nur Raisya Azzahra meninggal dunia.

“Kami nak beli gelang dan rantai emas untuk Nur Raisya, tapi nampaknya hasrat tak sampai.

“Kami reda ketentuan ini walaupun sedih memandangkan kami hanya sempat jaganya dua bulan saja,” katanya.

Tambahnya, dia merancang membawa pulang isteri serta anak-anaknya ke Pahang selepas Aidiladha depan.

Mohd Azlizan Shah berkata, isterinya yang juga seorang suri rumah telah dipindahkan ke Hospital Seri Manjung.

“Mak mertua saya juga dirawat di Hospital Seri Manjung, tinggal adik ipar saja di HRPB,” katanya.

 Tak sempat elak kenderaan membelok

Sementara itu Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohammad Hanif Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda City dipandu Noor Safiah dari arah Berus ke Lumut telah melanggar pacuan empat roda yang sedang membelok ke kanan.

“Berdasarkan siasatan awal, apabila kereta Honda City dinaiki enam sekeluarga itu tiba di lampu isyarat Kampung Sungai Wangi, ia meneruskan perjalanan setelah lampu isyarat bertukar hijau.

“Tiba-tiba datang sebuah pacuan empat roda dari arah Lumut telah membelok ke kanan dan ketika itu dipercayai lampu isyarat di laluannya merah.

“Kerana jarak terlalu dekat, pemandu Honda City tidak sempat mengelak dan telah menekan brek lalu melanggar pacuan empat roda itu di sebelah hadapan kiri,” katanya.

Katanya, akibat kemalangan, seorang bayi perempuan maut, pemandu dan penumpang pula cedera.

“Pemandu pacuan empat roda sudah menyerah diri di balai polis dan siasatan diteruskan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLANG - Seorang warga emas maut dilanggar sebuah lori yang mengundur ketika melakukan kerja pembersihan di tempat letak kenderaan Surau Al-Hidayah, Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.
  • KUALA LIPIS - Dua maut, dua parah dan dua lagi cedera apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan empat buah motosikal di kilometer 4 Jalan Sungai Koyan - Kuala Medang di sini, kira-kira jam 10.30 malam tadi.
  • SEREMBAN - Seorang lelaki terselamat walaupun kenderaan yang dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah bas pekerja di Jalan Labu Nilai, di sini, semalam.
  • SEREMBAN - Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain, di KM269.7 Lebuh raya Utara-Selatan arah Utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, kira-kira 12.40 tengah malam tadi.
  • KOTA BHARU - Salah seorang pelajar tahfiz yang terlibat dalam kemalangan van beramai-ramai pada 7 Ramadan lalu di Kuala Krai masih lagi terlantar di Hospital Universiti Sains Malaysia dan memerlukan pemantauan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.