PARIT - Bukan sahaja berani menceroboh tanah kerajaan malahan lebih berani dengan menanam pokok ketum yang dipercayai boleh mendatangkan pulangan lumayan.

Itulah yang dilakukan oleh seorang pengusaha pokok ketum di tanah kerajaan seluas 0.97 hektar di Kampung Chopin Kanan di sini sejak lebih kurang empat hingga lima tahun lalu.

Bertindak atas perkara itu, pihak Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah dengan kerjasama agensi penguatkuasa termasuklah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, polis, Pejabat Daerah Tanah Kecil Kampung Gajah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Veterinar Daerah Perak Tengah telah mengadakan operasi memusnahkan tanaman berkenaan termasuk beberapa tanaman lain yang diusahakan di tanah rizab padang ragut berkenaan semalam.

Selain daripada pokok ketum, pengusaha berkenaan juga turut menanam pokok betik.

Seramai 85 kakitangan terlibat telah menyertai operasi berkenaan yang diketuai oleh Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah.

Penghulu Mukim Belanja, Rajmi Ahmad berkata, operasi itu dilaksanakan rentetan daripada keputusan di dalam mesyuarat Majlis Tindakan Daerah.

Menurutnya, pihak jabatan mendapat maklumat berkenaan aktiviti penerokaan haram dan siasatan dijalankan bagi memastikan kesahihan perkara itu.

“Pihak jabatan terlibat segera mengambil tindakan sewajarnya bukan sahaja mahu menangani isu penerokaan tanah haram malahan aktiviti tanaman pokok ketum,” katanya.

Katanya, dalam menangani isu berkenaan, kepimpinan kampung diminta supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkaitan bagi menangani masalah berkenaan.

“Bukan sahaja isu penerokaan haram malahan tanaman pokok ketum yang kita khuatir boleh mendatangkan masalah sosial lain.

“Ada pihak yang berani menanam pokok ketum tanpa menghiraukan masalah dikemudian hari dipercayai kerana boleh memperolehi  pendapatan agak lumayan hasil jualan daun ketum,” katanya.

Katanya, boleh dikatakan pokok ketum turut ditanam di beberapa kawasan lain dan tindakan pemusnahan akan dilakukan secara berperingkat.

“Pokok ini memang sudah biasa dilihat di daerah ini kerana ia adalah pokok liar dan ada pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui tanaman secara komersial.

“Pihak berkaitan akan terus memantau dan mengambil tindakan secara berperingkat dalam perkara ini setelah mengambil kira faktor tertentu.

“Namun begitu, segala tindakan yang diambil telah mengikut prosedur dan undang-undang ditetapkan supaya tidak timbul sebarang isu berbangkit,” katanya.

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan sedang melaksanakan program pemutihan terhadap tanah milik kerajaan negeri yang diduduki di atas status Tanah Pendudukan Sementara atau TOL.
  • PENDANG - Seramai 157 anggota dari 18 agensi terlibat dalam Operasi Pugar yang melibatkan tiga zon di sekitar Hutan Simpan Bukit Perak iaitu Zon A, B dan C.
  • KOTA BHARU - Lebih 40 keluarga di Kampung Keladang, Salor di sini, mampu menarik nafas lega selepas tanah mereka yang didakwa diceroboh oleh sebuah syarikat untuk projek tanaman bunga matahari akhirnya disita pihak Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) serta mendapat perhatian kerajaan negeri.
  • KUALA TERENGGANU - Segelintir nelayan disyaki menjadi ‘dalang’ kepada aktiviti menangkap gamat di perairan negeri ini, yang dilakukan oleh nelayan asing.
  • LAHAD DATU - Pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo dekat sini pada Februari 2013 meninggalkan banyak kesan kepada penduduk Sabah khususnya di kawasan setempat, namun paling ketara tragedi itu menjadikan masyarakat lebih menghargai keamanan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.