PERSEKUTUAN  Badminton Dunia (BWF) berjanji akan menangani dengan serius sebarang bentuk mengatur perlawanan dan tidak akan bertolak ansur dengan perkara itu.
   
Presiden BWF Poul-Erik Hoyer berkata badan sukan dunia itu tidak akan membiarkan perkara itu mencemari sukan tersebut, antara sukan teras Olimpik.
   
"Fenomena ini muncul bukan sahaja dalam badminton tetapi juga dalam sukan lain, Ini adalah kebimbangan kami. Saya akan melakukan yang terbaik untuk menghalang masalah ini daripada berlaku," katanya,
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini ketika diminta mengulas tindakan empat beregu wanita dari Korea Selatan, China dan Indonesia yang sengaja bermain untuk kalah bagi memastikan mereka mendapat undian mudah pada Sukan Olimpik London tahun lepas.
   
Hoyer, bekas juara acara perseorangan Sukan Olimpik 1996 itu yang menggantikan Dr Kang Young Joong dari Korea Selatan sebagai presiden BWF pada Mei lepas, berada di sini untuk Kejohanan Dunia 2013.

Atas tindakan itu, kesemua beregu wanita itu disingkirkan daripada Sukan Olimpik London, sekali gus mencetuskan skandal terbesar dalam sejarah sukan itu pada temasya Olimpik.
   
Hoyer, 47, berkata BWF sentiasa memandang serius gejala mengatur perlawanan dan Jawatankuasa Disiplin badan dunia itu ditugaskan untuk mengkaji perkara itu.
   
"Jawatankuasa Disiplin bertindak cepat di Sukan Olimpik London 2012 di mana empat beregu wanita dibatalkan penyertaan kerana cubaan memberi kemenangan mudah kepada pihak lawan," katanya.
   
Mengenai pengenalan sistem elektronik bagi membantu pengadil garisan di tepi gelanggang yang sepatutnya diguna pakai pada Terbuka Indonesia Jun lepas, Hoyer berkata perkara merupakan keutamaan bagi BWF dan akan diuji sebelum akhir tahun ini. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASUKAN lelaki Malaysia mencatat kemenangan mudah 5-0 ke atas Myanmar dalam aksi Kumpulan C Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini hari ini.
  • KETUA jurulatih perseorangan negara Datuk Misbun Sidek yakin barisan pemain perseorangan mampu menyumbang mata penuh pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini, bermula esok hingga 11 Feb.
  • SKUAD badminton negara perlu menggunakan sepenuhnya peluang beraksi di laman sendiri untuk mencatat keputusan positif pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018 yang akan berlangsung di Alor Setar, Kedah dari 6 hingga 11 Februari.
  • PEMAIN beregu wanita, Tee Jing Yi mengakui terkejut namanya dipilih menggantikan Lee Meng Yean yang digugurkan daripada skuad ke Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, minggu depan.
  • BEKAS pemain dan jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek mengakui risau prestasi semasa dipamerkan pemain negara menjelang Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, yang juga tiket ke Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand, Mei depan.