PARIT - Sekurang-kurangnya 10 pelanggan di sebuah kedai kopi di Kampung Selat, Layang-Layang Kiri, di sini berdepan detik cemas apabila bumbung premis terbabit terbang ditiup angin kencang, hari ini.

Kejadian jam 4.45 petang menyebabkan kedai minum itu rosak teruk selepas bumbungnya terbang sejauh 20 meter.

Mohd Said Zar, 55, yang berada di kedai berkenaan berkata, sebelum kejadian dia bersama rakannya menikmati minum petang di kedai itu.

“Pada mulanya langit gelap kemudian diselang-seli bunyi guruh dan kami anggap ia perkara biasa sahaja.

“Beberapa minit kemudian hujan mula turun dengan lebat lalu diikuti angin yang begitu kuat sehingga kami berhenti minum,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di gerai berkenaan.

Dia kemudiannya mendengar bunyi bising dan apabila mengangkat kepala dia melihat bumbung kedai tersebut terangkat lalu diterbangkan angin.

“Masa itu kami menjerit sebelum saya mula melaungkan azan dengan harapan keadaan kembali tenang dan tidak lama kemudian hujan dan angin mula berhenti,” katanya.