BAGAN SERAI - Penduduk di dua kampung di sini gempar apabila buaya yang didakwa dilihat di Sungai Kurau berhampiran Kampung Padang Lalang lebih dua minggu lalu, muncul di kawasan mereka sejak seminggu kebelakangan ini.

Malah, reptilia yang berhabitat di Sungai Kurau berhampiran Kampung Depan Balai dan Kampung Nibong Hangus kini dikatakan mula mengganggu aktiviti penduduk di sungai itu.

Ketua Kampung Nibong Hangus, Zainal Abidin Mohamad berkata, sejak seminggu lalu, pihaknya menerima laporan beberapa penduduk yang bekerja sebagai nelayan diganggu buaya sewaktu turun ke sungai.

Menurutnya, namun hanya satu laporan serangan buaya dilaporkan kepada Jabatan Perhilitan Daerah Kerian dan pihaknya dimaklumkan sekurang-kurangnya empat kes lain tidak dilaporkan di kampung itu.

“Menurut cerita mangsa, buaya itu bukan saja tak takut manusia, ada bot nelayan cuba diterbalikkan.

“Mungkin semua ini berlaku sebab jumlah buaya di Sungai Kurau ini makin bertambah, mungkin dah cecah 500 ekor.

“Sampai sekarang majoriti nelayan sungai kampung ini takut nak turun ke Sungai Kurau. Perhilitan perlu bertindak segera supaya kejadian tak diingini dapat dielak,” katanya semalam.

Hadir melawat keadaan kedua-dua kampung itu, Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Kera habuan buaya

Penduduk Kampung Depan Balai, Azizon Mohd Noor, 50, berkata, beberapa penduduk mula menyedari kelibat buaya sepanjang lebih enam meter itu sering timbul di kawasan berhampiran kampung sejak seminggu lalu.

“Terbaru masa fenomena air laut pasang besar baru-baru ini. Ada orang terkejut nampak buaya tengah bersidai tepi muara sungai, lebih kurang 50 meter dari rumahnya.

“Saya dengar waktu malam, ada buaya berani bersidai dekat tepi sungai berhampiran rumah penduduk yang tak ada tiang lampu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Sharifah Saad, 68, berkata, buaya yang sering memunculkan diri di kawasan kampung dipercayai menyasarkan kera di tepi sungai untuk dijadikan makanan.

Menurutnya, dia bimbang buaya itu akan bersidai dan bertelur di kawasan rumahnya yang terletak berhampiran muara sungai kerana gelap dan tiada lampu.

“Waktu air laut pasang besar lagi menakutkan sebab sebelum ini pernah jadi buaya merangkak atas jalan kampung.

“Saya mohon pihak berkaitan sediakan lampu jalan di depan beberapa rumah penduduk di sini supaya tak jadi tempat buaya bersidai waktu malam,” katanya.

Bagi penduduk Kampung Depan Balai, Mohd Azrul Abdul Hamid, 30, pengalaman terserempak tiga buaya sedang bersidai di tepi sungai berhampiran rumah seorang penduduk pada waktu malam amat mendebarkan.

Menurutnya, keadaan kawasan gelap menyebabkan dia yang menaiki motosikal tidak menyedari terdapat buaya di situ.

“Buaya itu bersidai dekat dengan jalan, saya hampir jatuh sebab terkejut.

“Nasib baik, buaya sebesar sampan itu cepat-cepat masuk dalam sungai bila dengar bunyi enjin motosikal, kalau tak mungkin saya kena serang,” katanya.

Minta Perhilitan ambil tindakan segera

Dalam pada itu, Sham prihatin dengan kejadian tersebut dan meminta Jabatan Perhilitan Daerah Kerian mengambil tindakan segera bagi menangani masalah ancaman buaya.

Menurutnya, kejadian buaya muncul mungkin disebabkan populasi buaya di Sungai Kurau semakin meningkat.

“Apabila populasi haiwan itu meningkat, persaingan sesama mereka untuk mencari makanan di sungai semakin sengit dan kesannya, reptilia berkenaan mula memasuki kawasan kampung untuk mendapatkan makanan.

“Sekiranya kehadiran haiwan itu mengancam keselamatan penduduk, saya berharap Perhilitan dapat melakukan sesuatu dengan memindahkan sebahagian buaya ke tempat lain, memandangkan ia haiwan dilindungi dan tidak boleh dibunuh,” katanya

.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MIRI - Penduduk di tengah bandar Limbang gempar apabila seekor buaya seberat satu tan serta sepanjang lima meter ditemui awal pagi ini.
  • JERANTUT - Penduduk Kampung Kelola, Pulau Tawar, di sini digemparkan dengan kemunculan beberapa ekor buaya di persisir sungai sebuah pulau kecil, Sungai Pahang.
  • KUCHING - Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFRC) berjaya menangkap seekor buaya dekat Kampung Rancah Rancah, Sibuti, kira-kira 70 km dari Miri semalam.
  • PUCHONG - Penduduk di Kampung Seri Aman di sini, sekali lagi gempar dengan kelibat buaya sepanjang hampir enam meter yang timbul di kawasan berbatu berdekatan tiang landasan stesen transit aliran ringan (LRT) di Sungai Klang di sini, malam tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.