TRONG - Masalah kehadiran lalat di sekitar kawasan Trong didakwa berpunca daripada ternakan ladang berhampiran, seolah-olah tiada penghujungnya kerana majoriti penduduk dibelenggu dengan perkara itu sejak sekian lama.

Adun Trong, Datuk Dr Zabri Abd Wahid berkata, masalah tersebut tidak dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya pihak berwajib sentiasa memainkan peranan dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini.

Menurutnya, tidak dinafikan kawasan Trong adalah lokasi terbanyak yang mempunyai ladang ternakan ayam dan itik bagi daerah Larut Matang dan Selama.

"Kita juga sentiasa mendengar rintihan dan aduan rakyat kerana masalah ini, oleh itu satu operasi pemeriksaan secara mengejut dilaksanakan di lima ladang ternakan ayam termasuk itik di kawasan ini," katanya, semalam.

Kata beliau, lawatan dan pemeriksaan ke ladang ternakan ayam dan itik ini akan sering dijalankan bagi memantau aktiviti ternakan supaya sentiasa mengikut spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

"Ia bagi membendung populasi lalat yang terlampau banyak mengganggu kehidupan masyarakat kampung berhampiran," katanya.

Tambah Zabri, lawatan dan pemeriksaan ini melibatkan JPV dengan kerjasama Pejabat Tanah Larut Matang dan Selama (LMS), Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Jabatan Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta beberapa agensi lain turut terlibat.

"Lawatan dan pemeriksaan ini susulan aduan yang diterima daripada penduduk setempat.

"Sekiranya ada mana-mana pengusaha yang didapati tidak mengikut peraturan ditetapkan, tindakan amaran, denda atau mungkin diarah menutup operasi mereka akan dilaksanakan.

"Bagaimanapun untuk tindakan kompaun dan lain-lain masih dalam tindakan pihak JPV," katanya.

Katanya, susulan pertemuan bulan lalu antara pihak penternak, penduduk dan jabatan berkenaan berhubung isu ini menunjukkan ada perkembangan positif.

"Namun ia hanya melibatkan sebahagian kecil sahaja yang mula mengikut prosedur ditetapkan oleh JPV. Selainnya masih ada beberapa ladang ternakan yang gagal mematuhinya seperti ladang berhampiran Kampung Jawa, di sini yang masih berdegil," katanya.