IPOH - “Apa pun kerja, kena buat kerja ikut mengikut keutamaan dan keutamaan sekarang adalah mentadbir kerajaan,” Itu reaksi Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu bagi mengulas desas desus dalam kalangan penduduk di Chenderiang yang dikatakan tidak berpuas hati terhadapnya kerana jarang melawat kawasan berkenaan setelah berakhirnya PRU14, lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal mengakui perkara berkenaan adalah antara kelemahan dirinya yang masih cuba menyesuaikan diri dengan tugas serta tanggungjawab sebagai seorang Menteri Besar Perak yang juga Ahli Parlimen serta Adun bagi kawasan Chenderiang.

Ahmad Faizal turut  mengakui  terpaksa meninggalkan Chenderiang buat masa ini, namun meletakkan dua pegawai di kawasan berkenaan bagi melaksanakan tugas yang ditinggalkannya buat seketika itu.

“Saya memang tinggal di Tambun, tetapi dalam kedudukan saya yang perlu memberikan fokus kepada tanggungjawab mentadbir negeri selain memenuhi tuntutan untuk semua adun pembangkang dan kerajaan menyegerakan melangsaikan janji-janji dalam manifesto.

“Jadi fokus saya terhadap perkara itu terlebih dahulu. Kalaulah saya setiap hari duduk di kedai kopi bersama rakyat  dan saya tidak melaksanakan tanggungjawab dan  tugas saya sebagai menteri besar saya fikir kerajaan tidak akan mampu berikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Sebagai menteri besar yang baru saya terpaksa berikan fokus kepada tanggungjawab tersebut yang jauh lebih penting dahulu. Kalau setiap hari saya berpeluk dengan pengundi saya dan tak mampu bagi apa-apa, there's no point," katanya pada sidang media.

Ahmad Faizal berkata demikian setelah menyempurnakan  perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-43 Kesatuan Penghulu Penggawa  Semenanjung Malaysia Cawangan Perak, di Dewan Serbaguna Bangunan Darul Ridzuan, hari ini.