MANJUNG – Sebuah bot yang dinaiki hampir 10 pelajar dilaporkan terbalik berhampiran Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor, di sini hari ini.

Kejadian sekitar jam 5.30 petang itu berlaku ketika bot terbabit bersama tiga bot yang lain dalam perjalanan pulang selepas aktiviti snorkling di Pulau Giam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, kesemua mangsa terdiri pelajar sekolah menengah itu terselamat kerana memakai jaket keselamatan.

Bagaimanapun menurutnya, dua daripada mereka mengalami cedera ringan dalam kejadian itu.

“Bomba menerima panggilan kejadian itu pada jam 5.31 petang dan sebaik tiba di lokasi, semua mangsa berjaya diselamatkan orang awam yang berada berhampiran.

“Hanya dua daripada mereka mengalami cedera dan telah dihantar ke Hospital Desa Pulau Pangkor untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa merupakan antara 59 pelajar sekolah menengah dan 12 guru pengiring yang mengadakan aktiviti di pantai terbabit.

Katanya, tinjauan keadaan di lokasi juga mendapati, cuaca agak mendung dan keadaan laut sedikit bergelora.

Sehingga jam 6.30 petang tadi, anggota bomba masih menjalankan pemantauan di lokasi bagi memastikan keadaan selamat.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HULU BESUT - Suasana sedih yang menyelubungi keluarga dua sepupu lemas di kediaman nenek mereka di Kampung Chegar Batang, di sini menjadi gempar seketika apabila lantai kayu ruang tamu rumah terbabit tiba-tiba runtuh kira-kira jam 9.15 malam semalam.
  • KUALA TERENGGANU - Mangsa kedua kejadian bot terbalik di Sungai Besut dekat Kampung Cegar Batang, Pasir Akar, Hulu Besut pagi tadi ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira pukul 6 petang ini.
  • LABUAN - Sebuat bot yang membawa bekalan air untuk sebuah kapal terbalik di perairan Pulau Papan di sini sejurus meninggalkan jeti Labuan tengah hari tadi.