TAIPING -  Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan setiap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh Malaysia meletakkan anggotanya di setiap kawasan badan air berisiko khususnya kawasan berisiko tinggi.

Setiausaha Bahagian Dasar dan Inspektorat kementerian itu, Dr Siti Muhaza Sheikh Zainal berkata, arahan itu dikeluarkan Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin bagi meningkat tahap kesedaran orang ramai terutama pengunjung kawasan badan air terhadap kepentingan penjaga aspek keselamatan sewaktu melakukam aktiviti dalam air.

Menurutnya, kementerian berkenaan berharap arahan itu dapat dilaksanakan setiap anggota bomba dipertanggungjawabkan pada musim cuti sekolah yang akan berlangsung bermula minggu depan.

"Melalui inisiatif ini, orang ramai dapat melihat kesungguhan pihak kerajaan dalam mempromosi aspek keselamatan sewaktu pengunjung melakukan aktiviti dalam air yang kurang diberi perhatian rakyat Malaysia ketika ini.

"Selain itu, perlaksanaannya juga diharapkan mampu membendung kadar kejadian lemas dalam air sehingga akhirnya mengorbankan nyawa di mana senario itu paling kerap berlaku pada musim cuti sekolah," katanya sewaktu berucap pada majlis pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air Peringkat Negeri Perak 2018 di Taman Tasik Taiping, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah JBPM Perak, Penolong Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon dan Yang Dipertua(YDP) Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abdul Rahim Md Ariff.

Siti Muhaza berkata, merujuk kepada data Perak Clinical Research Centre(CRC) berhubung kematian akibat insiden lemas, hampir 700 kes kematian lemas dilaporkan berlaku setiap tahun di Malaysia melibatkan mangsa berusia 18 tahun ke bawah.

Menurutnya, data dikeluarkan JBPM pula menunjukkan kejadian insiden mati lemas meningkat daripada 260 kes pada 2016 kepada 327 kes pada 2017.

"Bagi enam bulan pertama 2018, seramai 186 insiden mati lemas dicatatkan.

"Jumlah kejadian kes kematian insiden lemas seperti ini satu kejadian yang amat menyayat hati yang bukan sahaja melibatkan kehilangan ahli keluarga, saudara mara tetapi turut memberi kesan negatif dari sudut kesejahteraan rakyat,"katanya.

Di sebalik pelbagai kempen promosi kempen kesedaran keselamatan aktiviti air dijalankan, Siti Muhaza tidak menafikan kawasan badan air di negara ini kurang penyediaan papan tanda informasi dan peringatan mengenai tahap keselamatan kawasan tersebut untuk dijalankan aktiviti.

Siti Muhaza (kanan) tekun mendengar taklimat penerangan penggunaan peralatan bomba untuk operasi menyelam bagi menyelamatkan mangsa lemas.

Menurutnya, kalau ada sekalipun, penyediaan papan tanda informasi berkenaa  tidak lengkap dan kurang informasi mengenai kepentingan kesedaran keselamatan aktiviti air kepada pengunjung yang hadir.

"Berikutan air, KPKT sedang membangunkan satu sistem perletakan papan tanda untuk diguna pakai oleh semua PBT bagi dipasang pada setiap kawasan badan air di tempat masing-masing.

"Perletakan papan tanda khas peringatan penjagaan aspek keselamatan aktiviti air tersebut akan diedarkan ke seluruh PBT untuk diletakkan ke kawasan badan air selewat-lewatnya akhir tahun ini.

"Ini penting agar dapat memberi peringatan sewajarnya terhadap orang awam mengenai tahap keselamatan kawasan badan air yang perlu dipatuhi mereka,"katanya.