BAGAN SERAI - Namanya sebelum ini disebut antara yang bakal memberikan sokongan kepada pembentukan kerajaan Pakatan Harapan.

Namun lewat beberapa hari, Adun Alor Pongsu yang juga Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat membuktikan khabar angin berkenaan sama sekali tidak benar.

Hingga kini, beliau tetap kukuh memberikan sokongan kepada Umno dan BN.

Ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Umno ke-72 peringkat Parlimen Bagan Serai, Sham mendedahkan bahawa, kelewatan mendapat sokongan tiga wakil rakyat Pas dalam pembentukan kerajaan perpaduan antara faktor kuasa mentadbir negeri itu beralih ke Pakatan Harapan.

Menurutnya, sehari selepas keputusan PRU14 diumumkan, kesemua 27 Adun BN diketuai Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan tiga Adun Pas diketuai Pesuruhjayanya, Razman Zakaria.

“Berdasarkan pendirian Majlis Syura Pas, parti itu pada mulanya bersetuju tiga adunnya menyokong pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak untuk kerajaan perpaduan bersama Pas.

“Kesemua 27 Adun BN sudah menandatangani borang 30 bagi menyatakan persetujuan itu, manakala tiga Adun Pas datang pada sebelah malam turut tandatangan dan cop borang sama.

“Persetujuan mereka dibuat atas beberapa syarat termasuk berkaitan portfolio agama dan perkara itu memang dipersetujui,” katanya.

Sham (dua, kanan) bersama Adun Selinsing, Mohamad Noor Dawoo (kanan) memberi kata-kata semangat kepada lebih 500 ahli Umno bahagian Bagan Serai yang hadir pada program Sambutan Hari Umno ke-72 di Bagan Serai.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, sekiranya Pakatan Harapan tidak boleh memberikan jaminan memperolehi tambahan satu kerusi sebagai syarat majoriti mudah pembentukan kerajaan, maka kerajaan perpaduan BN dan Pas akan ditabalkan sebagai kerajaan baharu Perak.

Bagaimanapun katanya, kemuncak peralihan sokongan berlaku apabila pertemuan di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Sabtu lalu memaklumkan terdapat dua Adun BN menyokong pembentukan kerajaan Pakatan Harapan.

“Semua kami terkejut sedangkan hakikat sebenar Pas ketika itu masih hendak bersama kita, kerajaan perpaduan hampir pasti menubuhkan kerajaan baharu di Perak.

“Apapun, kami enggan menyalahkan sesiapa dan menerima keputusan pembentukan kerajaan baharu Harapan dengan hati terbuka,” katanya.

Berkorban elak Umno diharamkan

Dalam perkembangan sama, beliau meminta semua ahli Umno bahagian berkorban dengan memenuhi keperluan menyelesaikan tanggungjawab mengadakan mesyuarat Umno cawangan dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Menurutnya, Setiausaha Umno Bahagian, Zulkarnain Ismail sudah diarahkan untuk menguruskan jadual mesyuarat Umno cawangan bagi keseluruhan 114 cawangan.

“Keperluan mengadakan mesyuarat Umno cawangan diputuskan Majlis Tertinggi Umno bermula 19 Mei ini dan perlu diselesaikan sebelum 10 Jun hadapan.

“Bagi memastikan keutamaan menyelesaikan sekurang-kurangnya 50 mesyuarat, Majlis Tertinggi Umno telah memberi kelonggaran dengan membenarkan mesyuarat Umno cawangan diadakan dengan kehadiran sekurang-kurangnya 11 ahli cawangan bagi memenuhi korum.

“Kita berharap dengan kelonggaran syarat korum ahli diberikan, semua Umno cawangan melibatkan keempat-empat sayap parti dapat mengadakan mesyuarat meskipun pada saat kita sedang berpuasa,” katanya.

Pihaknya mengharapkan sekurang-kurangnya separuh daripada bilangan Umno cawangan dapat memenuhi syarat bermesyuarat, sekaligus mengelakkan kemungkinan Umno diharamkan.

“Dalam saat getir ini, kita minta ahli Umno semua berkorban dalam mengelakkan parti kesayangan kita diharamkan sekiranya gagal bermesyuarat.

“Jangan macam dulu hendak mesyuarat kena ada peruntukan, duit makan, hamper dan sebagainya. Ini peluang kita untuk buktikan perjuangan terhadap parti,” katanya.

Sham turut menegaskan jawatan ketua kampung, pengerusi dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masih berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2018.

“Hanya apabila kerajaan baharu Harapan memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan mereka menerusi keputusan dibuat dalam mesyuarat Exco, barulah jawatan mereka dilucutkan. Sehingga itu, segala elaun mereka masih dibayar kerajaan negeri,” katanya.

Hati-hati tawaran ‘jual’ cawangan

Beliau meminta semua ahli agar berhati-hati dan tidak menerima sebarang tawaran meminta mereka ‘menjual’ cawangan parti itu dengan nilai RM5,000 bagi menyertai parti tertentu.

Sham berkata, susulan tindakan beberapa bekas pemimpin Umno Bahagian itu lompat parti termasuk Timbalannya, Datuk Abdul Muhaimin Abdul Rahman Nadzri, pihaknya mendapat maklumat terdapat sebahagian besar pemimpin Umno cawangan dihubungi untuk dipujuk menyertai mereka.

“Kita menasihatkan semua pemimpin Umno cawangan dan ahli parti supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan Abdul Muhaimin keluar Umno dan menyertai Bersatu, Sham mendedahkan sejak awal, beliau tidak tahu-menahu akan perkara itu.

“Memang ada dengar ura-ura, tetapi saya tidak jangka tindakan beliau sampai macam itu sekali. Datuk Seri Zambry pun terkejut dan saya rasa keputusan itu dibuat mungkin atas sentimen kawan.

“Apapun, saya minta semua ahli Umno terima sahaja keputusan beliau, jangan kutuk, hina dan cemuh kerana itu bukan budaya kita,” katanya.

Sham menegaskan Umno Bahagian itu tidak menghalang hasrat mana-mana ahli yang ingin melompat parti kerana tidak lagi berkeyakinan dengan perjuangan Umno dan BN.

Menurutnya, Umno bahagian tidak akan memujuk, bahkan parti itu tidak menghalau mana-mana ahli yang berhasrat keluar parti kerana pihaknya hanya memerlukan ahli yang benar-benar tulen dan menjiwai roh perjuangan parti.

“Bagi saya, ini merupakan proses pemutihan parti dalam memastikan Umno bangkit pada PRU akan datang,” katanya.

Sementara itu, Abdul Muhaimin sewaktu dihubungi menafikan pihaknya atau Bersatu ada mengemukakan sebarang tawaran kepada mana-mana pemimpin Umno cawangan di bahagian Bagan Serai sebagaimana didakwa.

Menurutnya, dakwaan itu mengarut kerana sebagai sebuah parti baharu, Bersatu tidak mempunyai wang atau pangkat untuk ditawarkan.