IPOH - Demi menyemarakkan bulan kemerdekaan negara, seramai 22 orang berkayak sejauh 62 kilometer dalam satu ekspedisi bermula dari Kuala Kangsar hingga Pulau Misa Melayu, Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri.

Pegawai Khas kepada Exco Kerajaan Negeri, Muhamad Zulhafiz Nor Wati berkata, program anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh ini melibatkan lapan guru pelatih, empat pengkayak dari Politeknik Ungku Omar, empat pengkayak dari Murad Sport & Science Consultant dan juga enam pengkayak dari Brunei.

"Penglibatan belia dan pengkayak Brunei ini dilihat selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan Sungai Perak sebagai destinasi dan produk pelancongan rekreasi.

“Sungai Perak menarik untuk diterokai menerusi aktiviti seperti berkayak ekoran di sepanjang laluan sungai tersebut terdapat tempat-tempat bersejarah dan laluan sungai yang mencabar," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Tambahnya aktiviti ini juga juga selaras dengan program Perak Jom Aktif di mana kerajaan menggalakan amalan gaya hidup sihat di kalangan belia dan remaja.

"Aktiviti seperti ini wajar diteruskan di samping menyemai semangat kemerdekaan dan menghargai  jasa pejuang kemerdekaan dahulu," katanya.

Sementara itu bagi pengkayak solo negara, Murad Mohd Kassim berkata, ekspedisi ini turut disertai oleh pengkayak dari Brunei dan penglibatan mereka membuktikan bahawa Sungai Perak mampu menjadi medan bagi pengkayak luar untuk meneroka dan mengharungi cabaran yang bakal ditempuhi.

“Sempena dengan ekspedisi ini, peserta turut mengedarkan risalah anti rasuah serta berpeluang beramah mesra dan berinteraksi dengan penduduk tempatan,“ katanya.