IPOH - Pengurusan bas Ekspres Perdana yang terbabit dalam nahas di Jalan Ipoh-Lumut hingga mengorbankan dua nyawa, 2 September lalu akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Mohd Nur Faiz Hilmi Wan Hamat berkata, pihaknya telahpun memberi keterangan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, petang tadi.

Menurutnya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga telahpun memulakan siasatan, bagaimanapun tiada tindakan penggantungan lesen dikenakan setakat ini.

"Kita akan beri kerjasama sepenuhnya untuk bantu siasatan ini, laporan polis telah dibuat dan kita masih tunggu perkembangannya.

"Kita juga sedih dengan kejadian ini kerana sepanjang sembilan tahun beroperasi, ini kali pertama kemalangan melibatkan kehilangan nyawa pemandu dan penumpang," katanya selepas mengadakan lawatan seorang mangsa nahas yang parah di Hospital Raja Permaisuri Bainun, hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menubuhkan pasukan Cakna Prihatin Ekspres Perdana bagi menziarah semua penumpang terlibat bagi menyampaikan sumbangan syarikat dan pihak insurans.

“Setakat semalam, lebih 10 mangsa dan keluarga telah kita ziarahi, termasuk juga waris pemandu bas yang meninggal dunia...Alhamdulillah, kunjungan ini diterima dengan hati terbuka," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi, Ahad lalu, pemandu bas, Mohamad Azizul Che Aziz, 31, dan penumpang, Munzirah Jalaludin, 20, yang juga penuntut Universiti Teknogi Mara (UiTM) Seri Iskandar maut di tempat kejadian.

Kejadian turut menyebabkan tiga yang lain parah sementara 32 lagi cedera ringan dengan kesan calar di anggota badan.

Dalam pada itu, seorang mangsa parah, Rizman Hakim Kamaludin, 18, dijangka menjalani pembedahan di bahagian kepala, Selasa depan.

Ibunya, Ramlah Che Kob, 60, berkata,  anaknya itu mengalami retak tulang muka akibat kecederaan pada mata kiri, hidung serta mulut.

"Baru hari ini dia dapat jamah makanan, sebelum ni tak boleh nak makan, alhamdulillah keadaannya beransur baik, tapi ada ketikanya dia sering terkejut ketika tidur," katanya.

Beliau berkata, mereka sekeluarga terpaksa menangguhkan sementara pengajian Rizman Hakim yang baru memulakan semester pertama dalam  Diploma Ukur Bangunan di universiti terbabit.