BIDOR - Bahang PRU14 semakin panas apabila perbuatan khianat dengan merosakkan bendera parti politik dikesan berlaku di Simpang Tiga, di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku  kira-kira jam 12 malam itu, dipercayai dilakukan beberapa individu tidak bertanggungjawab turut mencetus rasa tidak puashati di kalangan ahli parti politik yang terlibat.

Ketua Kampung Simpang Tiga,  Mohd Salleh Mohd Zain berkata, pihaknya mendapat tahu kejadian itu pada jam 7 pagi semalam menerusi WhatApps daripada penduduk yang melihat kejadian tersebut.

Menurutnya, pihaknya tidak tahu apa niat di sebalik perbuatan yang dilakukan oleh individu tersebut sehingga sanggup mencabut lalu membuang bendera parti ke dalam longkang.

Menurutnya, perbuatan tidak matang itu boleh mencetuskan kemarahan di kalangan ahli parti  politik yang terlibat jika tidak ditangani dengan segera.

“Kami membuat satu laporan polis di Balai Polis Bidor pagi tadi (semalam) untuk memastikan tiada kejadian seperti ini berlaku  pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, hanya kerana PRU14 semakin hampir, pihaknya tidak mahu hubungan di kalangan penduduk di kawasan itu terjejas disebabkan kejadian itu.

“Saya minta kepada orang ramai seharusnya lebih bijak dan matang dalam berpolitik serta tidak menggunakan emosi semata-mata,” katanya.