SUNGAI SIPUT - Golongan belia perlu menegur sebarang kesilapan dalam tindakan kerajaan secara profesional dan berhemah sekaligus menunjukkan belia mempunyai pemikiran kelas pertama.

Adun Dewan Belia Perak, Ariff Zaky Zolkafly berkata, pertubuhan belia perlu bergerak seiring dengan kerajaan dalam memastikan belia mendapat tempat dalam bersama-sama memacu pembangunan negara.

Menurutnya, kerajaan perlu terus menyokong usaha belia dalam menganjurkan aktiviti asalkan ia bukanlah berlandaskan penglibatan parti politik.

“Seperti kebiasaannya yang pernah dibuat sebelum ini, tidak kiralah fahaman politik mereka ke arah mana namun apabila bergerak di bawah nama belia, mereka lakukan untuk belia, tiada politik.

“Apa yang belia lakukan hanyalah demi kebaikan Malaysia. Untuk siapa? Untuk semua rakyat agar kita sama-sama nikmati kemakmuran dan kemajuan negara.

“Malah saya secara peribadi memegang prinsip berbeza pendapat itu satu hikmah. Dengan ini, kita dapat meraikan perbezaan asalkan objektifnya sama, demi Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap usul yang telah dibawa dalam Sidang Dun Belia dan Parlimen Belia sebelum ini yang tidak sempat dilaksanakan kerajaan sebelumnya dapat dikaji dan diteliti kerajaan baru di Perak.

Menurutnya, kewujudan dewan tersebut adalah untuk membincangkan pembangunan belia menjurus kepada apa belia mahu. Pemilihan ahli terbuka, tidak ada blok pembangkang dan kerajaan di dalamnya.

“Jadi, pandangan dilontar secara terbuka, tidak berpaksikan politik. Saya yakin semuanya profesional dalam dewan itu. Kalau ada pandangan politik, ia hanyalah pendapat peribadi mereka.

“Saya yakin kerajaan sekarang juga profesional dan perlulah meneruskan inisiatif yang baik ini supaya suara belia lebih didengari,” ujarnya.

Tambahnya lagi, penggerak belia wajar diberikan peluang kerana mereka menzahirkan idea untuk membantu kerajaan sekaligus membantu rakyat Malaysia.