IPOH - Bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Taiping pada pemilihan kali ini.

Menurutnya, keputusan itu diambil atas dasar tanggungjawab kerana gagal mempertahankan kerusi Dun Kamunting pada PRU14 yang lalu.

Beliau berkata, proses pemulihan parti perlu berjalan seperti biasa dan percaya pemimpin Umno Bahagian Taiping yang ada kini mampu membuat perubahan.

“Memang itu keputusan saya kerana seseorang harus bertanggungjawab di atas kekalahan Umno di kerusi Dun Kamunting dan saya mengambil tanggungjawab itu.

“Saya rasa ada calon yang lebih baik untuk berada di jawatan tersebut (Naib Ketua Umno Bahagian),” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, mengulas mengenai pertandingan tujuh penjuru bagi jawatan presiden parti, Mohammad Zahir berkata, beberapa kriteria perlu dilihat dalam menentukan presiden baharu parti jika ingin melihat Umno benar-benar berubah.

Katanya, Presiden Umno yang baharu mestilah individu yang tidak terpalit dengan apa-apa isu dalam pentadbiran terdahulu.

“Perkara ini penting supaya selepas pemilihan nanti presiden boleh terus buat kerja tanpa sebarang isu yang boleh memberikan persepsi buruk kepada rakyat kerana jika terdapat isu, ahli atau pimpinan terpaksa buang masa untuk mempertahankan presiden.

“Seorang presiden juga mestilah individu yang banyak berkorban untuk parti dan negara supaya timbul rasa hormat dalam kalangan rakyat umum,” katanya.

Mohammad Zahir berkata, seorang presiden juga mestilah individu yang mampu memberikan keyakinan untuk memimpin atas pelbagai faktor selain dihormati di peringkat antarabangsa.

Katanya, pada masa sama presiden parti perlu seseorang yang faham bahawa Umno dan BN bukan lagi kerajaan serta perlu bergerak sebagai pembangkang.Mohammad Zahir sebelum ini merupakan Adun Kamunting sejak tahun 2008.