LUMUT - Bayt al-Ikhlas yang dibangunkan oleh Yayasan Nur Ikhlas menyediakan sistem pendidikan berteraskan pengajian al-Quran dan akademik bagi melahirkan generasi seimbang dunia dan akhirat.

Pusat pendidikan itu yang baru dibuka telah menerima seramai 22 pelajar tingkatan satu yang melibatkan anak-anak yatim serta miskin tegar.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pembukaan sekolah berkenaan adalah hasil usaha kreatif daripada pihak yayasan serta dengan bantuan dan sumbangan pelbagai pihak.

Menurutnya, sistem pendidikan di sekolah itu menggunakan sistem International Cambridge General Secondry Education (ICGSE), tahfiz al-Quran serta bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Mandarin.

"Pelajar di sini yang melibatkan anak-anak yatim dan miskin tegar berpeluang mendapatkan pendidikan kelas pertama kerana ia meliputi pendidikan al-Quran, akademik dan juga bahasa.

"Matlamat utama kita adalah untuk melahirkan generasi terbaik yang bukan sahaja mahir dalam al-Quran malahan dalam segala bidang,"katanya ketika ditemui semasa lawatan ke sekolah itu di Padang Tembak, Teluk Muruh, di sini, hari ini.

Katanya, Bayt al-Ikhlas itu diselia sepenuhnya oleh Yayasan Nur Ikhlas bagi membantu anak yatim dan miskin tegar mendapat pendidikan terbaik.

"Pemilihan pelajar dibuat oleh jawatankuasa yang dilantik dan kita bukanlah memilih pelajar yang benar-benar cemerlang dari segi akademiknya namun harus memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Mungkin sekolah ini boleh menjadi contoh kepada kawasan lain dalam usaha melahirkan generasi serba boleh,"katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengelola Bayt al-Ikhlas, Datuk Mohd Azmi Othman berkata, bangunan yang dibina di tanah seluas 0.8 hektar itu melibatkan kos sebanyak RM4 juta.

"Bagi pengambilan pertama ini kita ambil seramai 22 pelajar tingkatan satu dahulu.

"Pihak yayasan menanggung sepenuhnya pengajian mereka di sini dan pemilihan pelajar turut dibantu oleh Jabatan Pendidikan Perak," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HULU TERENGGANU - Biarpun sudah menginjak usia 66 tahun dan telahpun miliki sijil Dirasat daripada Kolej al-Quran Terengganu (KQT), namun ia tidak dijadikan alasan bagi seorang warga emas daripada Kampung Paya Besar untuk terus mendampingi kalam suci al-Quran.
  • SABAK BERNAM - Mengamalkan bacaan al-Quran dan hadis dua kali setiap hari merupakan rahsia kejayaan seorang murid cemerlang dalam UPSR.
  • BAKONG - Banjir saban tahun menyebabkan al-Quran di Sekolah Kebangsaan Bakong mengalami kerosakan.
  • SHAH ALAM - Karya Bestari Sdn Bhd (Karya Bestari) tampil dengan judul terbaharu, al-Quran Ar-Riyadh Perjuzuk yang kini semakin mendapat sambutan masyarakat.