TAIPING – Seorang bapa tidak dapat mengawal kemarahan apabila bertindak meluru ke arah trak yang membawa tujuh suspek utama kes penculikan anaknya di Mahkamah Majistret Taiping, hari ini.

Kejadian berlaku sebaik kenderaan membawa tujuh individu itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 2.45 petang bagi berdepan tuduhan menculik seorang remaja lelaki bertujuan mendapatkan wang tebusan, 2 September lalu.

Tertuduh, S. Ramesh, 21; S. Elangovan, 29; P. Thiban, 20; H. Govinath, 36; Saravanan, 33; S.Simon Lazarus, 22, bersama seorang lagi remaja mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh yang tidak bekerja didakwa secara bersama mencapai niat bagi maksud mendapatkan wang tebusan sebanyak RM3 juta daripada keluarga mangsa.

Semua tertuduh didakwa telah melarikan dan mengurung seorang pelajar berusia 17 tahun, mereka melakukan perbuatan itu di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamunting Bakti pada jam 11 malam, 2 September lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama  yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azrul Faidz Abd Razak dan Saffiyatun  Ahmadun.

Semua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana hukuman yang diperuntukkan ialah hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Sebelum trak polis beredar dari perkarangan mahkamah kira-kira satu setengah jam kemudian, kelihatan beberapa orang tertuduh menangis dan menjerit-jerit ke arah ahli keluarga mereka.

Mohd Hairol kemudiannya menetapkan 21 November depan sebagai tarikh  sebutan semula kes.

Tertuduh H.Gobinath dan Saravanan diwakili Peguam P.Ravi manakala Thiban diwakili oleh J.Matthews.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Polis Johor sentiasa menjalinkan kerjasama yang baik dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) terutama dalam membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan di kedua-dua negara.
  • KUANTAN - Tindakan nekad terjun daripada kenderaan bergerak, menyelamatkan seorang lelaki daripada terus berada dalam cengkaman penculiknya.
  • KUALA PILAH - Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dan peka dalam penjagaan anak masing-masing bagi mengelakkan menjadi mangsa kes culik.
  • KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang wanita warga Filipina dan lelaki tempatan masing-masing berusia 39 dan 53 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah di Pangsapuri Taman Desa semalam bagi membantu siasatan berhubung kes culik seorang bayi, Freddy Joseph, 20 bulan yang dilaporkan hilang Jumaat lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.