TELUK INTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak komited menjalankan Operasi Cross District melibatkan pemeriksaan di pelantar nelayan serta ram sawit seluruh negeri.

Ketua Unit Operasi KPDNKK Perak, Akram Karim Mohd Arip berkata, sehingga Julai ini, KPDNKK Perak sudah menjalankan Operasi Cross District melibatkan empat daerah iaitu Mualim, Manjung, Kuala Kangsar dan terbaharu di Hilir Perak dan Bagan Datuk.

“Ini merupakan komitmen berterusan KPDNKK dalam membanteras penipuan alat timbang sukat di pelantar nelayan serta ram sawit di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

“KPDNKK Perak juga menyasarkan untuk menjalankan Operasi Cross District di semua daerah dalam negeri ini sebelum tamat 2017,” katanya pada sidang media khas di Pejabat KPDNKK Teluk Intan, baru-baru ini.

Menurutnya, pemeriksaan melibatkan pelantar nelayan serta ram sawit itu bertujuan memastikan hanya alat timbang ditentu sahkan sahaja digunakan peniaga.

“Sekiranya peniaga melakukan kesalahan, kompaun dikenakan di mana mereka perlu menyelesaikannya dan jika enggan, tindakan seperti mendakwa peniaga di mahkamah akan diambil.

“Komitmen berterusan ini bagi memastikan pemilik ram sawit serta pelantar nelayan mematuhi undang-undang,” katanya.

Katanya, daerah Kinta mencatat aduan pengguna paling tinggi diterima KPDNKK Perak.

“Jika pengguna melihat atau mengetahui berlaku penyelewengan dan penipuan, aduan boleh dibuat kepada KPDNKK melalui laman web atau terus ke cawangan berhampiran,” katanya.