• Bantah pembinaan kuil Penduduk Kampung Klian Intan bersama sepanduk dan kain rentang membuat bantahan pembinaan rumah ibadat Siam.
1 /

PENGKALAN HULU – Penduduk Klian Intan, di sini, menggesa campur tangan pihak berkuasa untuk menghalang pembinaan sebuah kuil di kawasan bukit berhampiran dengan Tanah Perkuburan Islam Klian Intan.

Pemangku Ketua Kampung Klian Intan, Zainal Jusuh bersama-sama masyarakat di situ menegaskan, pembinaan kuil itu dirasakan tidak sesuai dengan kehidupan masyarakat di situ yang kebanyakannya beragama Islam.

Menurutnya, kuil berkenaan sepatutnya dibina di kawasan lebih bersesuaian dan pihak berkenaan sepatutnya lebih menghormati sensitiviti agama dalam perkara tersebut.

"Lebih 90 peratus penduduk di sini beragama Islam dan kami tegaskan, tujuan bantahan ini bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak, sebaliknya menggesa mereka untuk turut sama berfikir tentang masalah penduduk Islam di sini.

"Kita tidak halang pembinaan rumah ibadat penganut agama lain, namun biarlah ia berjauhan dari tanah perkuburan Islam. Sebanyak enam aduan dibuat oleh penduduk bagi membantah pembinaan kuil itu kepada semua jabatan kerajaan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Pengkalan Hulu," katanya.

Menurut Zainal, kerana tiada tindakan daripada pihak berwajib hingga kini, penduduk kini meminta Kerajaan Negeri campur tangan demi kesucian Islam dan mereka juga tidak mahu perkara itu menjadi isu lebih besar selepas ini.

Lebih 50 penduduk Klian Intan berhimpun secara aman bagi membantah pembinaan kuil yang hanya berjarak 50 meter dari tanah perkuburan Islam serta dua kilometer daripada kawasan kampung.

Penduduk, Idrus Hassan, 47 mencadangkan agar pembinaan kuil berkenaan dipindah ke kawasan lain yang mempunyai lebih ramai penduduk berketurunan Thailand.

"Saya cadangkan bina kuil itu di Kampung Pong yang terletak 9 Kilometer dari sini. Masalah pembinaan kuil itu sekarang ini adalah lokasinya tidak bersesuaian kerana di sini majoriti penduduk beragama Islam," katanya.