BAGAN SERAI - Banjir melanda kawasan Beriah, Parlimen Bagan Serai menyebabkan seramai 358 mangsa banjir dari 64 keluarga di Kampung Wawasan Indah, di sini terpaksa dipindahkan di pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Wawasan Indah, awal pagi tadi.

Selain itu, jalan utama menghubungkan Alor Pongsu dan Selama di Kilometer 15.1 terputus hubungan dan ditutup untuk kenderaan ringan.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, banjir difahamkan mula menaiki rumah penduduk di Kampung Wawasan Indah, Beriah sejak petang semalam.

Menurutnya, keadaan hujan lebat tanpa henti selama lebih dua jam pada sebelah petang menyebabkan sebahagian besar rumah mangsa banjir dinaiki air setinggi dua kaki.

"Selain itu jalan utama menghubungkan daerah Selama dengan Alor Pongsu di Kilometer 15.1 turut ditutup kerana air sudah melintasi jalan dalam keadaan deras.

Banjir difahamkan mula naik dan memasuki rumah penduduk di Kampung Wawasan Indah, Beriah sejak petang semalam.

"Pada masa sama, jalan utama menghubungkan Pekan Changkat Lobak, Alor Pongsu dan Bukit Merah sudah dinaiki air setinggi dua kaki," katanya kepada media di sini hari ini.

Noor Azmi berkata, pada ketika ini, banjir mula menampakkan keadaan surut, namun paras air yang memenuhi rumah mangsa banjir dan melintasi jalan raya masih tinggi.

Menurutnya, pihaknya turut dimaklumkan semua anggota Sektretariat Pengurusan Bencana Daerah Kerian bertungkus-lumus membantu pemindahan 64 keluarga termasuk tiga orang kurang upaya(OKU) dengan menggunakan aset Agensi Pertahanan Awam Malaysia(APM), bomba dan polis.

"Punca banjir kali ini disebabkan keadaan hujan di sebelah petang terutamanya di kawasan hulu sungai seperti Ijok dan Pondok Tanjung mengakibatkan air Sungai Ijok naik, mengakibatkan terusan di sekitar kawasan kampung dinaiki air seterusnya melimpahi rumah mangsa banjir.

"Ketika ini, semua agensi kerajaan bertanggungjawab sedang memantau keadaan banjir dari semasa ke semasa.

"Saya amat bersimpati dengan nasib kesemua mangsa banjir yang kini terpaksa menyambut bulan Ramadan di pusat pemindahan mangsa banjir dan kita berharap kejadian bencana ini tidak akan berlarutan hingga ke perayaan Aidilfitri," katanya.