BAGAN SERAI - Pelan perlaksanaan Bandar Teknopolis Lembah Beriah, di sini yang sudah lama dirancang MK Land Holdings Berhad sebelum ini, dijangka bakal dilaksanakan syarikat itu pada tahun depan.

Bagaimanapun, konsep bidang perindustrian bakal diketengahkan menerusi perlaksanaan projek itu bergantung kepada keputusan hasil kajian tanah yang sedang dilakukan oleh sebuah firma juruperunding dilantik.

Ketua Pegawai Eksekutif MK Land Holdings Berhad, K Mohanachandran berkata, setakat ini sebuah firma juruperunding dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dilantik bagi melaksanakan kajian tanah untuk mengenal pasti kesesuaian tanah dan tanaman yang boleh ditanam di kawasan projek.

Menurutnya, berdasarkan cadangan awal, pihaknya hendak mewujudkan sebuah bandar teknopolis Lembah Beriah yang mengaplikasikan bidang perindustrian berasaskan pertanian sebagai teras utama.

"Dengan itu, kita bukan sahaja mewujudkan bandar perindustrian di Lembah Beriah yang diberi nama Bandar Teknopolis Perdana, malah kita akan menekankan aspek pertanian dan pengeluaran industri hiliran berasaskan pertanian.

"Jika kajian tanah mendapati cadangan tersebut bersesuaian, MK Land Holdings Berhad akan memfokuskan bidang agro perniagaan, agro-pelancongan dan industri pertanian sebagai tiga teras utama untuk membentuk Bandar Teknopolis Perdana kelak," katanya pada sidang media pada majlis Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2018 anjuran Lake View College (LVC) di Bukit Merah, di sin kelmarin.

Program dirasmikan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Mohd Hatta Zakaria dan Ketua Eksekutif LVC Bukit Merah, Mohd Jailani Che Idrus.

Mohanachandran berkata, bagi merealisasikannya, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan(Fama), Jabatan Pertanian dan beberapa agensi kerajaan berkaitan.

"Selepas ini, MK Land akan memberi taklimat dengan Majlis Daerah Kerian (MDK) dan agensi kerajaan untuk membincangkan kaedah terbaik memberi peluang kepada usahawan datang kepada kami dan berminat melabur dalam bidang pertanian.

"Kita tidak menolak kemungkinan akan sedia tapak dan bangunan kepada usahawan berminat melabur di sini kerana pihak kami tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian.

"MK Land juga sudah membina sebuah jalan sepanjang 1.8 kilometer menghubungkan tapak projek dengan persimpangan keluar Plaza Tol Alor Pongsu. Jadi jangkaan projek perlaksanaan Bandar Teknopolis Perdana akan dimulakan pada tahun depan,"katanya.

Mohanachandran turut menegaskan projek ini mendapat sokongan padu kerajaan negeri Perak yang sememangnya sedang mencari satu keluasan tanah yang agak besar bagi melaksanakan satu projek pertanian mampan.

"MK Land memiliki jumlah keseluruhan tanah di kawasan Lembah Beriah, di sini seluas 2,800 ekar.

"Jadi jumlah peratusan keluasan tanah yang diambil untuk perlaksanaan projek Bandar Teknopolis Perdana di situ bergantung kepada hasil keputusan dalam kajian dibuat firma juruperunding dilantik kelak,"katanya.

Mengenai cadangan pembinaan sebuah universiti di kawasan Lembah Beriah, di sini sebagai sebahagian rancangan pembangunan Bandar Teknopolis Perdana, Mohanachandran menegaskan perancangan itu belum boleh dimulakan atas beberapa kekangan tidak dapat dielakkan.