TAIPING - Polis Taiping menyasarkan setiap balai polis daerah itu wajib melaporkan tiga kes tangkapan dadah di kawasan pemantauan mereka pada setiap minggu bagi memenuhi tuntutan petunjuk prestasi utama(KPI) baharu mereka.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, sasaran baharu KPI sempena pelancaran Operasi Jihad Dadah peringkat daerah Taiping minggu ini, ditetapkan ke atas setiap anggota di kesemua sepuluh balai polis terdapat di sini.

Menurutnya, usaha jihad memerangi dadah secara habis-habisan itu sangat penting bagi memastikan keseluruhan 295 sektor komuniti kecil daerah ini benar-benar bebas daripada gejala dadah, sekaligus membantu membasmi jenayah lain.

"Sebelum ini, saya menetapkan KPI kepada setiap balai polis di daerah Taiping bahawa mereka mesti lapor sekurang-kurangnya satu kes dadah dalam seminggu.

"Namun, sebagai menyahut seruan Operasi Jihad Dadah yang turut mendapat kerjasama kesemua agensi kerajaan di peringkat daerah Taiping, saya menyasarkan kesemua 10 balai polis di Taiping wajib lapor sekurang-kurangnya tiga kes dadah dalam seminggu.

"Meskipun kerja operasi membanteras kegiatan dadah bukan tugasan utama mereka, namun saya harap bantuan diberikan kepada komuniti dalam usaha memerangi dadah dapat memberi impak lebih berkesan,"katanya pada sidang media selepas mengadakan Operasi Jihad Dadah di Balai Polis Trong, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama Mohamed Akmal Dahalan.

Mohamad berkata, polis Taiping juga akan mewujudkan grup Whatsapp bagi keseluruhan 295 sektor komuniti kecil di seluruh daerah ini meliputi seorang anggota polis, pemimpin setempat, wakil pelbagai agensi kerajaan dan wakil komuniti sebagai medium komunikasi baharu.

Menurutnya, melalui pengenalan medium komunikasi menggunakan media sosial itu, anggota polis berkenaan bertanggungjawab mengetahui apa sahaja kegiatan jenayah yang berlaku dalam sektor mereka.

"Anggota polis berkenaan akan menanggung akibat sekiranya gagal melaporkan sebarang kegiatan jenayah di kawasan pemantauan mereka.

"Usaha mewujudkan grup Whatsapp komuniti pula penting bagi membolehkan pemimpin tempatan memantau pergerakan orang luar dan dalam kampung, seterusnya menyalurkan laporan kepada polis tanpa perlu ada rasa bimbang,"katanya.

Sementara itu, Mohamed Akmal yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia(Pemadam) Taiping berkata, pelaksanaan Operasi Jihad Dadah yang dirancang pihaknya bersama Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Taiping mula menampakkan keberkesanan berdasarkan hasil tangkapan 44 pengedar dadah dan penagih di sekitar kawasan Trong, dekat sini pagi ini.

Menurutnya, operasi itu bertujuan membasmi gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti setempat di samping mengurangkan perasaan takut dalam kalangan pemimpin tempatan bagi melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan komuniti masing-masing.