IPOH - Seorang gadis yang akan melangsungkan perkahwinan pada Julai ini meminta bantuan orang ramai mengesan bapa kandung untuk dijadikan wali.

Norhanizza Harun, 28, berkata, bantuan itu diperlukan selepas pencariannya sejak beberapa tahun ini tidak membuahkan hasil.

Bapanya, Harun Nahwi seorang warga Indonesia yang berusia lingkungan 50-an, sudah 23 tahun hilang tanpa khabar berita.

"Ketika saya berusia lima tahun lagi ayah hantar saya ke rumah nenek untuk dijaga, sejak itu saya dibesarkan oleh nenek di Beruas.

"Nenek baru sahaja meninggal dunia beberapa hari lepas dan dia juga tidak punya apa-apa klu ke mana ayah pergi kerana langsung tiada perkhabaran dihantar," katanya.

Norhanizza berkata, usaha mencari agak sukar kerana bapanya tiada kenalan saudara di sini.

"Saya juga tidak mempunyai gambar ayah, yang saya ada hanyalah alamat terakhirnya iaitu di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, semakan yang dibuat di Pejabat Pendaftaran Negara mendapati tiada rekod mengenai kematian bapanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Harun Nahwi boleh menghubungi Norhanizza di talian 018-5747502.