IPOH - Kerajaan diminta menghentikan segala usaha bagi membuka semula siasatan berhubung beberapa kes berprofil tinggi di negara, sebaliknya  memberikan tumpuan terhadap pembentukan Kabinet penuh.

Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe berkata,  rakyat telah pun memberikan mandat kepada kerajaan baharu pada PRU14 lalu dan kini tibalah masanya untuk mereka (kerajaan baharu) untuk mula bekerja membina negara.

“Sepatutnya dalam seminggu barisan Kabinet dah boleh dibentuk. Tetapi saya rasa terkilan jugalah, sampai ke hari ini barisan menteri Kabinet belum dibentuk. Apa kena dengan kerajaan baharu ni? Apa masalah mereka?

“Rakyat dari luar tentu rasakan, ada masalah dalaman, tetapi mereka kata tak ada masalah dalaman. Oleh itu, kalau tak ada masalah, takkanlah Kabinet tak  boleh dibentuk dalam sebulan lebih.

“Jangan salahkan rakyat. Rakyat dah berikan mandat kepada kerajaan baharu. Sepatutnya Kabinet dah dibentuk dalam masa seminggu dan jalankan tugas untuk bawa negara ke arah yang lebih cemerlang lagi,” katanya.              

Lian Hoe berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Raya Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Hari Ibu Bapa Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe)  Pusat Transformasi Bandar (UTC), di Hotel Kinta Riverfront, hari ini.

Sementara itu, Lian Hoe berkata, semua pihak kini perlu bersama menarik keyakinan pelabur untuk berkunjung dan melabur ke negara ini.

Bagaimanapun katanya,  tanpa pembentukan Kabinet, pelabur khususnya pelabur asing akan berasa ragu-ragu melabur ke negara ini.

“Kita kena beri full confident untuk pelabur datang ke Malaysia.  Tetapi kalau tengok keadaan politik masih tak stabil lagi, tolong hentikan.

“Rakyat dah berikan mandat dan sudah tiba masanya untuk pembentukan kerajaan baharu berbanding asyik melakukan pembongkaran di sana-sini,” katanya lagi.